Kucing hilang akibatkan bekalan elektrik terputus, jejas perjalanan tren di Paris

Bernama
Julai 8, 2023 12:40 MYT
Pihak pengurusan kereta api memutuskan bekalan elektrik stesen selama sejam untuk mengeluarkan kucing dari bawah rangka kereta api TGV. - Gambar hiasan/Unsplash
PARIS: Seekor kucing Parsi yang terlepas daripada jagaan pemiliknya memaksa perjalanan kereta api TGV dari stesen Gare de Lyon di Paris ke Nice ditangguhkan selama sejam pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik akhbar Perancis Le Parisien pada Jumaat.
Insiden itu berlaku pada masa yang tepat untuk kucing itu, kerana hanya beberapa hari sebelum kejadian, mahkamah di Perancis mengenakan denda yang tinggi ke atas syarikat kereta api nasional SNCF selepas satu daripada kereta api mereka gagal berhenti apabila seekor kucing berlari melintasi landasan.
Ini disusuli kematian kucing bernama Neko pada Januari, selepas kucing itu melarikan diri ketika kereta api sedang berlepas, menurut pemiliknya yang berusia 15 tahun. Kereta api itu meneruskan perjalanannya walaupun gadis itu dan ibunya memberi amaran bahawa kucing itu berada di bawah kereta api, kata mereka.
Pada Selasa, mahkamah memerintahkan SNCF, yang didapati bersalah kerana cuai, membayar pampasan sebanyak 1,000 euro (AS$1,090) kepada setiap seorang daripada dua pemilik kucing itu.
Kali ini, pihak pengurusan kereta api memutuskan bekalan elektrik stesen selama sejam untuk mengeluarkan kucing itu dari bawah rangka kereta api TGV, lapor akhbar berkenaan.
Dalam satu ciapan, seorang peminat kereta api Perancis menulis: " Seekor kucing di bawah kereta api TGV di Gare de Lyon pagi ini. Jika dilanggar kucing itu: tidak bagus. Kami melewatkan perjalanan kereta api dan menjejaskan 1,800 pelanggan dengan kelewatan sehingga 1jam20: tidak baik."Bagaimanapun, kita kalah."
-- BERNAMA
#kucing parsi #Perancis #Paris #kereta api tertangguh
;