Kucing bercakap seperti manusia tular di TikTok

Sinar Harian
November 10, 2023 11:20 MYT
Kucing bernama Duchy hanya 'bercakap' apabila ia lapar. - Foto TikTok/@daisyduchy
BANGKOK: Video tular seekor kucing yang boleh bercakap fasih seperti manusia ketika meminta makanan daripada pemiliknya telah mendapat lebih tujuh juta tontonan, lapor Thaiger.
Video tersebut disiarkan pengguna media sosial TikTok dikenali sebagai @daisyduchy yang mana kucing tersebut bernama Duchy.
Dalam video tersebut, Duchy dilihat memanggil nama pemiliknya untuk meminta makanan.
Apabila ditanya sama ada dia lapar, kucing itu menjawab seperti marah sehingga membuatkan ramai netizen terpegun dengan kebolehan bahasa linguistik haiwan jinak itu.
Selepas video itu disebarkan, ia telah menarik lebih tujuh juta tontonan.
Malah, netizen membanjiri ruang komen dengan menyatakan kekaguman mereka dengan kebolehan Duchy bercakap seperti manusia.
Pemilik Duchy mendedahkan bahawa kucingnya hanya bercakap semasa lapar dan selepas kenyang dia akan senyap seribu bahasa dan tidak mengeluarkan suara 'meow'.
Tingkah lalu itu membuatkan netizen terhibur sehingga video itu mendapat tontonan tinggi.
"Duchy berkata dia lapar," kedengaran pemiliknya berkata dalam video itu.
Duchy membalas dia 'lapar' dalam sebutan yang fasih yang boleh difahami oleh pemiliknya dan netizen yang menonton video tersebut.
Video itu secara langsung menjelaskan bahawa ikatan antara kucing dan pemiliknya sangat akrab atau interaksi luar biasa antara manusia dan haiwan peliharaan mereka. - Sinar Harian memetik agensi
#kucing #minta makanan #Duchy #lapar
;