Kuarantin kendiri: UK kaji langkah lebih sesuai
Astro Awani
Julai 8, 2021 06:34 MYT
Julai 8, 2021 06:34 MYT
BRITAIN sedang mengkaji langkah yang lebih sesuai dan berkesan terhadap mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit COVID-19.
Menurut Canselor United Kingdom (UK) Rishi Sunak, kerajaan kini meneliti aplikasi yang dibangunkan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) bagi mengesan kontak rapat.
Katanya, kerajaan sedang mengenal pasti kaedah yang "sesuai, seimbang dan wajar" untuk individu mengasingkan diri sekiranya didapati mungkin menjadi kontak kepada seseorang yang dijangkiti koronavirus.
Ketika ini, orang ramai kecewa dengan keperluan menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari jika menerima amaran bahawa mereka mungkin telah terdedah kepada virus itu.
“Saya sudah berbincang dengan menteri kesihatan berkenaan perkara ini dan beliau sedar orang awam yang kini kecewa berkenaan perkara ini.
“Apa yang saya boleh jelaskan adalah, kita mempunya dua sistem yang berbeza bagi ujian saringan dan mengesan kontak rapat.
"Kita mempunyai aplikasi yang dibangunkan NHS. Saya tahu kebanyakan orang mempersoalkan bagaimana aplikasi tersebut berfungsi dan menteri kesihatan juga menyedari perkara itu.
“Aplikasi tersebut akan mengira berapa ramai orang yang perlu dikuarantin dan beliau juga sedang meneliti apakah langkah yang terbaik, sesuai dan memadai bagi tujuan tersebut,” katanya.
Dalam temu bual bersama Sky News di London pada Khamis, Sunak menjelaskan, kebimbangan orang ramai ketika ini adalah bagaimana aplikasi tersebut berfungsi.
Kenyataan tersebut menyusul selepas Kementerian Kesihatan UK memaklumkan akan mengira semula jumlah mereka yang sudah divaksinasi sepenuhnya.
#ujian saringan
#kontak rapat
#COVID-19
#kuarantin
#vaksin
#Britain
#United Kingdom
#aplikasi
#Rishi Sunak
#NHS