Kualiti udara kembali merosot, warga Bangkok dinasihat berjaga-jaga
Agensi
Disember 20, 2019 08:30 MYT
Disember 20, 2019 08:30 MYT
Pihak berkuasa di Bangkok pada Khamis menasihatkan orang ramai supaya memakai topeng muka atau lebih banyak menghabiskan masa di dalam bangunan selepas pencemaran udara kembali menyelubungi ibu kota Thailand itu, lapor Reuters.
Jabatan Kawalan Pencemaran Kebangsaan mengeluarkan amaran tentang partikel zarah berbahaya pada bacaan PM 2.5, melebihi paras selamat di tiga kawasan di Bangkok.
Indeks Kualiti Udara (AQI) pada Khamis pagi adalah 170, berdasarkan pemantauan airvisual.com yang mengukur tahap pencemaran bandar-bandar sedunia.
Bacaan AQI itu adalah ‘tidak sihat’ apabila melebihi 150, dan ia bermaksud ada kemungkinan besar memberi kesan sampingan kepada jantung dan paru-paru dalam kalangan orang awam.
Setakat ini, tiada sebab yang didedahkan kepada umum atas kemerosotan kualiti udara itu yang dijangka memburuk sepanjang musim kering dari Disember ke April.
Penduduk di Bangkok yang berpopulasi sekitar 10 juta orang telah ramai yang mengadu tentang pencemaran udara dan masalah kesihatan sampingan seperti asma dan alergi.
“Ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan saya sebab saya terasa sukar untuk bernafas. Mata saya pula tersa gatal dan sakit,” ujar pemandu bas berusia 58 tahun, Pitak Meesopa.
Pitak mengalami masalah alahan pada tahun lalu ketika pencemaran seumpamanya berlaku, dan mengaku terpaksa menggunakan topeng pada kebanyakan masa.
Keadaan pencemaran itu memaksa penutupan beberapa buah sekolah di Bangkok pada awal tahun ini, sementara di wilayah utara negara itu, termasuk Chiang Mai, situasi pencemaran sudah mencecah paras berbahaya pada April.