Kualiti udara Jakarta kedua terburuk di dunia pada Khamis

Agensi
Jun 17, 2022 13:53 MYT
Data tersebut direkodkan dari 16 stesen seperti di jabatan kementerian, kedutaan Amerika Syarikat di negara itu serta syarikat swasta.
KUALITI udara di Jakarta berada dalam kedudukan kedua terburuk di dunia pada pagi Khamis (16 Jun), berdasarkan data kualiti udara dari IQAir.
Menurut laporan Detik.com, data tersebut diperoleh pada jam 10.24 pagi, dengan Indeks Kualiti Udara (AQI) merekodkan bacaan 156 iatu tidak sihat.
Pencemaran utama di Jakarta pada hari sama pula ialah PM2.5 iaitu 13.1 di atas nilai panduan kualiti udara tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Data tersebut direkodkan dari 16 stesen seperti di jabatan kementerian, kedutaan Amerika Syarikat di negara itu serta syarikat swasta.
Kerajaan Wilayah Jakarta turut menyiarkan indeks standard pencemaran udara dalam laman web Jakarta Kini.
Pihak kerajaan mengkategorikan kualiti udara berdasarkan lima kategori penilaian iaitu kosong hingga 50 baik, 51 hingga 100 sederhana.
Manakala, bacaan 101-200 adalah tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 adalah bahaya.
Berdasarkan rekod tersebut, Riyadh mencatatkan kualiti udara paling tidak baik di dunia disusuli Busan, Korea Selatan di tangga ketiga.
#Jakarta #udara #kualiti udara #WHO
;