Kualiti udara di Lahore pada tahap paling bahaya

Agensi
November 12, 2020 21:47 MYT
Kadar pencemaran udara di bandar raya itu kini dikategorikan sebagai paling bahaya. Foto: AP
LAHORE: Bandaraya Lahore di Pakistan dilanda jerebu pada Khamis sekali gus memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran kepada puluhan ribu penduduk terutama terhadap golongan yang menghadapi masalah pernafasan dan sakit mata.
Keadaan itu membuatkan kadar pencemaran udara di bandar raya itu kini dikategorikan sebagai paling bahaya, sekali gus memberi tekanan kepada pasukan perubatan yang berdepan cabaran peningkatan kes positif COVID-19 dan angka kematian.
Indeks kualiti udara di bandar raya itu dilaporkan mencecah bacaan 750 iaitu 12 kali ganda lebih tinggi berbanding tahap yang disarankan.
Menurut pakar, punca utama pencemaran itu adalah disebabkan penggunaan pengangkutan dan sektor industri tenaga.
Sejak Mac, Lahore dilaporkan bebas daripada pencemaran udara susulan pelaksanaan perintah berkurung bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Namun, selepas sekatan pergerakan ditarik semula Mei lalu, kebanyakan sektor ekonomi kembali beroperasi sekali gus menyebabkan peningkatan aktiviti yang mencemarkan udara.
Susulan itu, kerajaan menggesa orang ramai agar sentiasa menggunakan pelitup muka sebagai pelindung daripada pencemaran udara dan virus COVID-19.
#Pakistan #jerebu #COVID-19 #pencemaran udara #Lahore #kualiti udara
;