Kru Polaris Dawn berjaya laksana pengembaraan angkasa lepas swasta pertama

Bernama
September 12, 2024 07:00 MYT
Roket SpaceX Falcon 9 dengan empat kru berlepas dari pad 39A di Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida, 10 Sept 2024. (Foto AP)
WASHINGTON: Pengembaraan angkasa lepas swasta pertama di luar Bumi berjaya dilaksanakan apabila peminat angkasa lepas dan komander penerbangan angkasa Polaris Dawn, Jared Isaacman, serta Jurutera SpaceX, Sarah Gillis, menghabiskan masa di luar kapal angkasa Dragon pada pagi Khamis, lapor United Press International (UPI).

Ringkasan AI
  • Pengembaraan Angkasa Lepas Swasta: Jared Isaacman dan Sarah Gillis berjaya melaksanakan pengembaraan angkasa lepas swasta pertama dengan keluar dari kapal angkasa Dragon dan melakukan ujian sut angkasa baharu SpaceX.
  • Sut Angkasa Baharu: Mereka memakai sut angkasa EVA SpaceX yang ringan dan fleksibel untuk menguji keberkesanannya dalam persekitaran angkasa lepas yang ekstrem.
  • Rekod Baru: Misi ini mencipta rekod dengan mencapai orbit paling jauh dari Bumi sejak era Apollo dan menandakan pencapaian wanita paling jauh di angkasa lepas.

Namun, Isaacman dan Gillis tidak hanya menikmati pemandangan Bumi dan angkasa lepas yang menakjubkan dari kapal angkasa.
Mereka juga melakukan ujian terhadap sut angkasa baharu SpaceX untuk melihat sama ada sut yang lebih ringan dan ditambah baik ini bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran angkasa lepas.
"SpaceX, di bumi kita masih banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi dari sini ia kelihatan seperti dunia yang sempurna," kata Isaacman ketika berdiri di luar Dragon sambil merenung kembali ke arah Bumi.
Isaacman dan Gillis keluar dari Dragon seorang demi seorang, masing-masing selama kira-kira 15 minit. Keseluruhan kru memakai sut angkasa EVA baharu SpaceX, yang direka supaya ringan dan lebih fleksibel sambil memberi perlindungan kepada manusia daripada persekitaran yang sukar di luar Bumi.
Memandangkan kapal angkasa Dragon tidak mempunyai sendat udara, bahagian dalamannya terdedah sepenuhnya kepada vakum angkasa semasa pengembaraan angkasa lepas.
Juruterbang Scott "Kidd" Poteet dan ahli kru Anna Menon turut memakai sut angkasa mereka.
Kamera yang dipasang di dalam dan di luar Dragon, bersama kamera lain yang dipasang pada sut angkasawan memberikan pandangan unik mengenai angkasa dan Bumi, yang berada kira-kira 322 kilometer (km) lebih tinggi daripada Stesen Angkasa Antarabangsa.
Angkasawan swasta ini meninggalkan Bumi pada Selasa dari Pusat Angkasa Kennedy dengan menaiki roket Falcon 9 SpaceX.
Kru berjaya mencapai matlamat pertama mereka pada Rabu untuk mengorbit pada ketinggian 1,400 km di atas Bumi.
Misi angkasa swasta ini telah mencipta rekod dengan mencapai orbit paling jauh mengelilingi Bumi sejak era Apollo serta pencapaian wanita berada paling jauh di angkasa lepas.
Polaris Dawn dan kapal angkasa Dragon akan kembali ke Bumi di mana mereka dijadualkan mendarat di Lautan Atlantik.
-- BERNAMA
#pengembaraan angkasa lepas #Polaris Dawn #kapal angkasa #kapal angkasa Dragon
;