Kru pesawat tambang murah ditangkap sedang asyik mengambil dadah

Bernama
Disember 22, 2015 07:23 MYT
Mereka ditahan ketika sedang mengadakan pesta dadah di sebuah apartmen di Wilayah Tangerang. - Gambar Hiasan
Badan Narkotika Nasional (BNN) pada Selasa mengesahkan tiga kru sebuah syarikat penerbangan tambang murah milik Indonesia adalah antara empat orang yang ditahan dalam satu serbuan kerana terbabit dengan kes dadah.
Siaran-siaran berita televisyen tempatan memetik Ketua Kepala BNN Budi Waseso sebagai berkata, mereka ditahan ketika sedang mengadakan pesta dadah di sebuah apartmen di Wilayah Tangerang dekat sini pada Isnin.
Katanya, mereka yang ditahan ialah seorang Pembantu Juruterbang, seorang pramugari, seorang pramugara dan seorang wanita suri rumah yang juga teman kepada salah seorang kru terbabit.
Kesemua mereka berumur antara 20 dan 34 tahun dan ketika ditahan dalam keadaan khayal dan sedang asyik mengambil dadah jenis syabu dan menghisap ganja.
"Ketika kami geledah barang bukti sudah habis digunakan. Mereka berpasang-pasangan... tetapi fokus kami ialah untuk membongkar jaringannya," kata beliau dalam satu sidang media.
Penangkapan kru penerbangan membabitkan kes dadah ini adalah yang kebeberapa kali berlaku di Jakarta termasuk dua juruterbang pernah ditahan kerana disahkan penagih dadah pada 2012.
#Budi Waseso #Dadah #ganja #Ketua Kepala BNN #tambang murah
;