Kronologi serangan di lapangan terbang seluruh dunia

Agensi
Jun 29, 2016 06:24 MYT
Tiga anggota pengganas yang didakwa daripada kumpulan militan Daish (IS) melakukan serangan bunuh diri di terminal antarabangsa Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul. - Foto AFP
Serangan bunuh diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada Selasa (waktu Turki) merupakan serangan terbaharu di lapangan terbang utama dunia sejak beberapa tahun lalu. Berikut senarai beberapa serangan itu:
26 Jun 2016 – Tiga anggota pengganas yang didakwa daripada kumpulan militan Daish (IS) melakukan serangan bunuh diri di terminal antarabangsa Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul yang meragut nyawa 36 orang dan mencederakan ramai lagi, jurucakap kerajaan Turki berkata. BACA LAPOR LANGSUNG DI SINI

12 Jun 2016 – Letupan di kawasan kaunter pendaftaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong di Shanghai mencederakan empat orang. Ia dilakukan dengan menggunakan mercun yang diletakkan dalam empat botol kosong.

22 Mac 2016 – 16 orang terbunuh dalam dua serangan bunuh diri di kaunter pendaftaran lapangan terbang di Brussels. Kumpulan militan Daish mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut. Kejadian ini disusuli dengan letupan bom di stesen keretapi bawah tanah di Brussels yang meragut nyawa 16 orang lagi.

7 Mac 2016 – Sebuah bom yang disembunyikan dalam beg meletup di sebuah lapangan antarabangsa di Somalia dan mencederakan tiga orang. Kumpulan militan al-Shabab mengaku bertanggungjawab ke atas kejadian itu.

28 Disember 2015 – Serangan bom kereta meragut nyawa seorang orang awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul lalu mencederakan 13 orang lagi. Kumpulan militan Taliban mengaku bertanggungjawab ke atas serangan ini.

17 Ogos 2015 – Serangan bom kereta berlaku di laluan masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

21 Mac 2015 – Seorang pegawai TSA di Lapangan Terbang Antarabangsa New Orleans diserang oleh seorang lelaki dengan parang yang kemudiannya telah ditembak mati. Pihak berkuasa juga menemui sebuah beg berisi bom molotof kepunyaan suspek. Salah seorang pegawai TSA cedera ringan dalam insiden tersebut.

3 Februari 2015 – Dua buah bom telah berjaya dimatikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Pihak berkuasa menemui sebuah bom di terminal ketibaan yang menempatkan pesawat EgyptAir manakala satu lagi berhampiran lokasi pondok polis di kawasan letak kereta. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

11 Disember 2013 – Beberapa serangan bom kereta dilaporkan berhampiran laluan masuk lapangan terbang di Kabul yang digunakan oleh tentera NATO. Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab dalam insiden ini.

20 Julai 2013 – Seorang lelaki lumpuh meletupkan sebuah bom di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital dengan harapan mendapat perhatian selepas mendakwa dipukul oleh pegawai kerajaan. Insiden ini hanya mencederakan lelaki itu sahaja.

18 Julai 2012 – Sebuah bom meletup di dalam sebuah bas yang membawa pelancong Yahudi di Lapangan Terbang Burgas, Bulgaria. Insiden ini meragut nyawa lima pelancong, pemandu bas dan penyerang bunuh diri itu. 35 orang turut tercedera dalam kejadian tersebut. Pada tahun 2014, Menteri Dalam Negeri berkata beliau yakin insiden ini dilakukan oleh kumpulan militan Hezbollah.

27 Februari 2012 – Serangan bom kereta di laluan masuk Lapangan Terbang Jalalabad, Afghanistan meragut sembilan nyawa. Kumpulan militan Taliban berkata serangan ini adalah angkara membalas dendam selepas beberapa naskah al-Quran didapati dibakar di pangkalan tentera Amerika Syarikat.

24 Januari 2011 – Serangan bunuh diri di terminal ketibaan Lapangan Terbang Domodedovo, Moscow meragut nyawa 37 orang dan mencederakan 180 yang lain. Kumpulan pemisah Chechnya mengaku bertanggungjawab keatas kejadian ini. Pihak berkuasa Rusia kemudian mengenalpasti penyerang bunuh diri itu sebagai lelaki 20 tahun dari daerah Wilayah Caucasus utara.
#lapangan terbang ataturk #militan #serangan bunuh diri