Krisis Ukraine-Rusia: Pertempuran semakin sengit di Kiev

Fareez Azman
Februari 27, 2022 13:05 MYT
Askar Ukraine berjalan melepasi bangkasi trak tentera yang hangus terbakar susulan serangan tentera Rusia Kiev. -AP
KIEV: Masuk hari keempat serangan operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine, bandar Kiev menyaksikan pertempuran sengit di antara tentera Rusia dan Ukraine serta orang awam dalam mempertahankan bandar itu daripada ditakluk Kremlin.
Memetik laporan agensi antarabangsa, beberapa letupan kedengaran di bandar itu pada awal pagi.
Tentera Rusia dikatakan melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap barisan pertahanan Ukraine.
Bagaimanapun risikan United Kingdom (UK) menjelaskan tentera Rusia berhadapan cabaran logistik serta tentangan kuat daripada tentera Ukraine.
Jurucakap Ukraine sebelum ini mendakwa seramai 3,000 tentera Rusia terbunuh dalam serangan balas tentera Ukraine, manakala lebih 300 kereta kebal Rusia turut dimusnahkan.
Sehingga kini, angka korban rasmi belum dikeluarkan kedua-dua pihak.
#Kiev #Rusia #Krisis Ukraine Rusia #serangan bertubi-tubi
;