Krisis Teluk: Arab Saudi buka semula sempadan dengan Qatar
Agensi
Januari 4, 2021 07:40 MYT
Januari 4, 2021 07:40 MYT
DUBAI: Arab Saudi umum buka semula sempadan dengan Qatar berkuatkuasa serta merta, sekali gus membuka jalan menamatkan krisis diplomatic sejak 2017.
Kementerian Luar Kuwait selaku pengantara mengumumkan pembukaan tersebut.
Menterinya Ahmad Nasser al-Mohammad Al Sabah berkata semua yang terlibat telah menyatakan komitment mengenai penyatuan tersebut.
“Ia telah disahkan bahawa dalam perbualan ini, semua yang terlibat menyatakan komitmen mengenai penyatuan dan mereka akan mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan semuanya.
“Berdasarkan cadangan, telah diputuskan bahawa sempadan ruang udara, laluan darat dan air antara Arab Saudi dan Qatar akan dibuka semula bermula Isnin malam,” katanya.
Arab Saudi buka semula sempadan dengan Qatar
Untuk rekod, Arab Saudi menutup satu-satunya sempadan darat dengan Qatar pada 2017 selepas ia dan tiga negara lain, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain melancarkan sekatan ke atas negara teluk berkenaan.
Ia susulan dakwaan Qatar menyokong kumpulan pengganas dan mempunyai hubungan baik dengan Iran.
Penarikan embargo ini memberi laluan kepada pemerintah Qatar menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Teluk pada Selasa.
Perkembangan ini berlaku ketika hari-hari terakhir pentadbiran Presiden Donald Trump.
Negara-negara teluk dipercayai mahu mewujudkan hubungan lebih mesra ketika era Presiden Joe Biden.
Tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan UAE, Mesir dan Bahrain setakat ini.
Bagaimanapun, beberapa hari kebelakangan ini kenyataan dari UAE dan Mesir mengalu-alukan usaha Arab Saudi untuk menyelesaikan pertikaian berkenaan.
#Arab Saudi
#sempadan
#Qatar
#UAE
#Mesir
#Bahrain
#Kuwait
#Ahmad Nasser al-Mohammad Al Sabah
#Donald Trump
#Joe Biden