Krisis tebusan: Pengorbanan dua tebusan diangkat sebagai wira dan srikandi
AFP
Disember 16, 2014 14:37 MYT
Disember 16, 2014 14:37 MYT
Rakyat Australia menjulang dua tebusan yang terbunuh dalam krisis tebusan di sebuah kafe di Sydney awal pagi ini sebagai wira dan srikandi negara itu.
Mangsa telah dikenalpasti sebagai Tori Johnson, 34, pengurus kafe coklat terbabit dan peguam beranak tiga, Katrina Dawson 38 tahun.
“Mereka sanggup berkorban nyawa agar mereka yang lain dapat terus hidup,” antara ucapan dalam satu upacara di sebuah gereja tempatan.
“Laporan yang muncul pagi ini mencerminkan semangat seorang wira oleh tebusan lelaki yang terbunuh,” kata paderi Anthony Fisher.
“Tori dikatakan melihat peluang dan cuba merampas senjata (dari penculik) namun apakan daya ia tertembak diri sendiri dan membunuhnya. Tetapi di sebalik itu, ia membolehkan pihak polis bertindak dan tebusan lain dibebaskan.
“Laporan juga mengatakan Katrina Dawson yang sedang mengandung cuba melindungi tebusan lain sebelum dia sendiri terbunuh,” kata Fisher lagi.
Timbalan Pesuruhjaya Polis New South Wales, Catherine Burn sehingga kini masih belum mengesahkan mengenai laporan terbabit. Kumpulan penyiasat katanya sedang membuat siasatan lanjut.
Ibubapa Johnson dalam satu kenyataan yang dikongsikan bersama wartawan Ben Fordham memuji anak mereka yang digelar “budak baik” dan menggesa semua mendoakan “dunia yang aman.”
“Kami amat berbangga dengan anak kami Tori, meskipun telah pergi tetapi akan sentiasa diingati sebagai teman hidup yang mengagumkan, anak dan abang yang kita impikan,” kata kenyataan itu lagi.
Satu lagi kenyataan oleh majlis peguam NSW pula memuji Dawson, seorang peguam yang sedang meningkat naik.
Mendiang akan dirindui oleh rakan sekerjanya dan barisan peguam kata kenyataan lagi.
Turut maut dalam kejadian itu adalah lelaki bersenjata kelahiran Iran Man Haron Monis manakala enam yang lain cedera.