Krisis Sri Lanka: Rakyat beratur dapatkan barang keperluan harian

Astro Awani
Mei 15, 2022 08:15 MYT
Seorang wanita warga emas dilihat beratur di hadapan sebuah balai polis bagi mendapatkan gas memasak. - Foto AP
COLOMBO: Krisis ekonomi Sri Lanka yang berterusan memaksa rakyatnya beratur panjang untuk mendapatkan barangan keperluan asas seperti bahan api, gas memasak, makanan dan ubat-ubatan.
Situasi itu diburukkan lagi apabila kebanyakan barangan diimport dari luar negara dan negara itu pula diambang muflis.
Negara pulau Lautan Hindi itu telah menggantung pembayaran balik pinjaman asingnya sementara menunggu rundingan mengenai pakej penyelamatan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa.
Negara itu perlu membayar balik hutang asing sebanyak AS$7 bilion tahun ini daripada AS$25 bilion yang perlu dibayar menjelang 2026 dengan jumlah hutang asingnya mencecah AS$51 bilion dolar.
Kementerian Kewangan Sri Lanka berkata, negara itu ketika ini hanya mempunyai AS$25 juta dalam rizab asing yang boleh digunakan.
Kekurangan mata wang tegar juga telah menghalang import bahan mentah untuk pembuatan dan memburukkan inflasi, yang melonjak kepada 18.7 peratus pada bulan Mac.
Pada Sabtu, Presiden Sri Lanka mengangkat sumpah bersama empat menteri kabinet baharu dalam usaha memastikan kestabilan sehingga kabinet penuh dibentuk.
Pelantikan empat menteri dibuat dua hari selepas Presiden Gotabaya Rajapaksa melantik semula bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe.
Ia selepas abang Presiden, Mahinda Rajapaksa meletak jawatan berikutan serangan ganas oleh penyokongnya terhadap penunjuk perasaan antikerajaan.
BACA: PM Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa letak jawatan
Peletakan jawatannya secara automatik membubarkan kabinet, meninggalkan kekosongan pentadbiran.
#barangan keperluan asas #beratur #muflis #makanan
;