Krisis Sri Lanka: Bahan api hanya mampu bertahan lima hari
Astro Awani
Jun 17, 2022 11:20 MYT
Jun 17, 2022 11:20 MYT
COLOMBO: Stok bahan api di Sri Lanka akan bertahan selama kira-kira lima hari lagi.
Menteri Tenaga Kanchana Wijesekera berkata, negara itu sedang menunggu pengesahan rasmi daripada kerajaan India untuk saluran kredit baharu AS$500 juta bagi bahan api.
Negara dengan 22 juta penduduk itu terperangkap dalam krisis kewangan terburuk dalam tujuh dekad selepas rizab pertukaran asingnya menyusut ke paras terendah dengan dolar kehabisan untuk membayar import penting termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api.
Kekurangan bahan api kronik telah bertambah buruk minggu ini dengan barisan panjang di beberapa stesen minyak di seluruh negara membawa kepada protes apabila pemilik kenderaan menunggu kadangkala semalaman untuk petrol dan diesel.
Stok meliputi bahan api untuk kenderaan, beberapa industri dan perkhidmatan penting.
Sebulan lalu, Perdana Menteri berkata petrol hanya mencukupi untuk sehari.
Sri Lanka tidak dapat membuat pembayaran tertunggak 725 juta dolar kepada pembekal dan juga bergelut untuk membuka surat kredit untuk penghantaran masa hadapan.
Sri Lanka sedang menunggu pengesahan rasmi mengenai saluran kredit AS$500 juta daripada Exim Bank kerajaan India yang akan digunakan untuk membiayai penghantaran bahan api untuk beberapa minggu akan datang.
India telah menjadi penyokong utama semasa krisis kewangan Sri Lanka dengan kira-kira AS$3 bilion bantuan, termasuk saluran kredit AS$1 bilion untuk import penting dan pertukaran AS$400 juta.
Sri Lanka telah menghubungi beberapa negara, termasuk Rusia, untuk membincangkan pilihan import bahan api yang akan menyediakan bekalan beberapa bulan.
Negara itu juga sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk pakej penyelamat dan delegasi daripada pemberi pinjaman dijangka tiba di Sri Lanka pada 20 Jun.