Krisis Rusia-Ukraine: Usah pinggirkan masalah kami - Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan
Syafik Shukri Jalil
Februari 24, 2022 13:13 MYT
Februari 24, 2022 13:13 MYT
KABUL: Konflik kemanusiaan yang mencengkam Afghanistan pada ketika ini tidak boleh dipandang sepi walaupun fokus dunia kini beralih kepada keputusan Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang memutuskan untuk memberi 'lampu hijau' terhadap operasi ketenteraan di timur Ukraine.
Menurut Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi, ini kerana Afghanistan sudah wujud untuk tempoh yang lama dan isu di Ukraine tidak akan sesekali menjejaskan tuntutan mereka terhadap keperluan hak asasi kehidupan.
“Apa yang kami mahukan adalah sifat saling hormat menghormati dan jalinan kerjasama dengan masyarakat antarabangsa.
“Kami sangat menghargai usaha menyediakan bantuan kemanusiaan kepada kami tetapi adalah lebih baik sekiranya ia diteruskan melalui sektor perdagangan dan pendidikan.
“Isu di Afghanistan tidak boleh diketepikan kerana negara ini akan terus wujud untuk dekad yang akan datang,” katanya ketika ditemui semasa misi penyerahan bantuan kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan di sini pada Rabu.
Tambahnya, ketika ini adalah penting untuk masyarakat antarabangsa memberi pengiktirafan kepada kerajaan Afghanistan dalam memastikan isu kemanusiaan di negara ini tidak berpanjangan.
“Untuk itu, dari perspektif kami, adalah penting untuk masyarakat dunia mengiktiraf kami sebagai sebuah kerajaan.
“Saya pasti sekiranya ada isu-isu lain yang berbangkit, ia masih boleh diselesaikan menerusi dialog,” tambahnya.
Pada Khamis, Putin memutuskan untuk memberi kebenaran terhadap operasi ketenteraan di timur Ukraine.
Ia bagi menjalankan operasi ketenteraan khas dan analisis pihaknya telah membuat kesimpulan bahawa konfrontasi dengan Ukraine sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.