Krisis Rusia-Ukraine: AS tuduh Rusia lakukan jenayah perang

Astro Awani
Mac 24, 2022 08:45 MYT
Schaack berkata penilaian itu berdasarkan "semakan teliti" sumber awam dan perisikan sejak Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine bulan lepas. - Foto fail/AP
WASHINGTON DC: Amerika Syarikat telah membuat penentuan rasmi bahawa tentera Rusia melakukan jenayah perang di Ukraine.
Duta besar untuk Keadilan Jenayah Global di Jabatan Negara Amerika Syarikat, Beth Van Schaack berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Negara Antony Blinken memetik bukti serangan sewenang-wenang atau sengaja terhadap orang awam dan kemusnahan bangunan pangsapuri, sekolah, hospital, pusat membeli-belah dan lain-lain.
"Minggu lalu, Setiausaha Blinken menyatakan pandangannya bahawa Rusia melaporkan serangan sebenarnya merupakan jenayah perang.
"Beliau menekankan bahawa Jabatan Negara dan Jabatan AS yang lain akan mendokumentasikan dan menilai fakta dan undang-undang yang menyelubungi laporan ini.
"Penilaian itu kini termasuk dengan semakan teliti maklumat yang tersedia pada masa ini, baik awam mahupun daripada sumber perisikan.
"Kajian ini menyokong penilaian yang diumumkan setiausaha hari ini, bahawa tentera Rusia sememangnya melakukan jenayah perang di Ukraine," katanya.
Schaack berkata penilaian itu berdasarkan "semakan teliti" sumber awam dan perisikan sejak Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine bulan lepas.
Amerika Syarikat akan berkongsi maklumat itu dengan sekutu, rakan kongsi dan institusi antarabangsa yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Blinken membuat pengumuman itu pada Rabu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan ketika belau dalam perjalanan ke Brussels bersama Presiden Joe Biden untuk sidang kemuncak tergempar para pemimpin NATO.
#jenayah perang #Rusia #Amerika Syarikat #Ukraine
;