Krisis Rusia-Ukraine tingkatkan risiko terhadap unjuran ekonomi global - Moody's

Bernama
Mac 4, 2022 04:00 MYT
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan sekatan ekonomi seterusnya telah meningkatkan risiko terhadap unjuran ekonomi global. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan sekatan ekonomi seterusnya telah meningkatkan risiko terhadap unjuran ekonomi global, menurut Moody's Investors Service.
Menerusi laporan penyelidikannya pada Jumaat, agensi penarafan itu menjelaskan tahap kesan berkenaan akan bergantung kepada tempoh dan kadar keterukan krisis terbabit.
Naib Presiden-Pegawai Kredit Kanan, Kelvin Dalrymple berkata peningkatan konflik ketenteraan akan meletakkan pemulihan ekonomi Eropah dalam situasi berisiko.
"Seluruh dunia akan terkesan dengan kejutan harga komoditi apabila inflasi sudah sedia tinggi, dan dengan kesan susulan kewangan akibat sekatan terhadap Rusia selain ketidaktentuan pasaran kewangan," katanya dalam laporan tersebut.
Moody's menambah Rusia dan Belarus akan menerima kesan paling langsung daripada sekatan menyeluruh yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, di samping impak tidak langsung ke atas entiti asing yang menjalankan perniagaan dengan Rusia.
Semua perkembangan tersebut boleh memberi kesan susulan ke atas ekonomi global, tambahnya.
Menurutnya, kejutan harga komoditi akan meningkatkan tekanan inflasi, khususnya bagi ekonomi yang merupakan pengimport besar komoditi Rusia.
"Sejak pencerobohan itu, harga minyak mentah melonjak melebihi US$100 setong. Rusia merupakan pengeluar utama logam termasuk aluminium, platinum, tembaga dan paladium selain harganya juga meningkat ekoran krisis terbabit.
"Manakala negara lain yang mengeluarkan logam ini akan meraih manfaat daripada harganya yang tinggi. Pengguna akan mengalami kenaikan kos memandangkan pertambahan kos dilepaskan kepada mereka," jelas Moody's.
Agensi penarafan itu menjelaskan Rusia dan Ukraine merupakan negara yang menguasai pengeluaran global bagi gas neon, satu komponen dalam pembuatan semikonduktor, yang boleh memburukkan lagi masalah kekurangan dan penawaran dalam industri automotif.
Kedua-dua negara itu juga menyediakan kira-kira 14 peratus penawaran gandum untuk dunia dan 25 peratus bagi eksport global.
Harga gandum dan bijian lain telah melonjak ketara berikutan pencerobohan tersebut, tambahnya.
Moody's juga melaporkan pasaran kewangan global mengalami turun naik tidak menentu sejak pencerobohan itu, dengan ketidaktentuan geopolitik, harga komoditi lebih tinggi, peningkatan sekatan dan gangguan perniagaan serantau juga semakin menjejaskan sentimen pasaran.
"Jika ini diterjemahkan kepada tekanan mudah tunai yang ketara dan berpanjangan, ia akan melemahkan situasi pendanaan untuk penerbit hasil tinggi global dan bagi negara-negara sedang pesat membangun yang bergantung kepada aliran modal global, malah sesetengahnya telah mengalami kekangan akses kepada pembiayaan," jelasnya.
Agensi penarafan itu menambah di sebalik keadaan ini, dolar AS terus meningkat kukuh, bagaimanapun, setakat ini tebaran kredit dalam zon euro telah melebar secara sederhana sahaja, dan masih berada di bawah paras tertinggi yang dicatatkan semasa permulaan pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#krisis Rusia-Ukraine #ekonomi global #Moody's Investors Service #sekatan ekonomi #Kelvin Dalrymple
;