Krisis Rusia-Ukraine: Singapura hargai bantuan Kuala Lumpur bawa keluar rakyatnya
Bernama
Februari 27, 2022 07:10 MYT
Februari 27, 2022 07:10 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra di atas bantuan membawa keluar seorang rakyat republik itu dari Kiev, ibu kota Ukraine.
"Kami sangat berterima kasih kepada Wisma Putra kerana membantu seorang warga Singapura keluar dari Kiev dalam suasana yang sukar. Rakan yang membantu ketika diperlukan sememangnya rakan sejati!," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi kedutaaan berkenaan pada Ahad.
Terdahulu Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi ciapan di Twitter memaklumkan sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka dan seorang warga Singapura yang dibawa keluar dari Kiev selamat tiba di Poland pagi tadi dan disambut dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di negara itu.
Sementara itu, Wisma Putra menerusi hantaran di Twitter memaklumkan konvoi itu selamat tiba di Korczowa-Krakovets, sempadan Ukraine-Poland pada pukul 5.45 pagi waktu Malaysia (10.45 malam, 26 Feb waktu tempatan).
-- BERNAMA