Krisis Rusia-Ukraine: Semakin ramai rakyat Ukraine tiba di Poland

Reuters
Februari 24, 2022 00:39 MYT
Persimpangan Medyka sebahagian besarnya digunakan oleh orang ramai yang pergi membeli-belah merentasi sempadan atau bekerja, kini menjadi antara laluan utama pelarian. - Reuters
MEDYKA (POLAND): Rakyat Ukraine yang melarikan diri daripada serangan Rusia sudah mula memasuki Poland, dengan berpuluh-puluh orang tiba di persimpangan Medyka yang biasanya sunyi pada hari Khamis.
Pihak berkuasa di negara Kesatuan Eropah (EU) yang bersempadan dengan Ukraine, termasuk Romania dan Slovakia, berkata tiada kemasukan besar pelarian buat masa ini, tetapi media tempatan melaporkan jumlah pejalan kaki semakin meningkat.
Alexander Bazhanov melarikan diri dari rumahnya di timur Ukraine bersama isteri dan anaknya, hanya membawa keperluan penting sahaja dan meneruskan bahagian akhir perjalanan mereka dengan berjalan kaki.
Pengurus teknikal berusia 34 tahun itu dari Mariupol, 113 km dari Donetsk, memutuskan untuk memasuki Poland apabila mengetahui perang telah bermula.
"Saya tidak mempunyai apa-apa perasaan selain sangat takut. Saya mahu melawat bapa saya di Sepanyol tetapi saya tidak mempunyai wang dan saya tidak tahu bagaimana mahu melakukannya," kata Bazhanov yang ditemui di persimpangan sempadan pejalan kaki, kira-kira 400 km dari Warsaw.
Krisis Ukraine-Rusia: Apa punca sebenar dan perkembangan terkini
Tentera Rusia menyerang Ukraine melalui darat, udara dan laut pada Khamis selepas Presiden Vladimir Putin membenarkan apa yang disebutnya sebagai operasi ketenteraan khas di timur.
Negara-negara Eropah Tengah yang berkongsi sempadan dengan Ukraine telah bersiap sedia menghadapi kebanjiran pelarian yang dijangka mencari tempat perlindungan.
Persimpangan Medyka sebahagian besarnya digunakan oleh orang ramai yang pergi membeli-belah merentasi sempadan atau bekerja.
Tentera Amerika Syarikat juga sudah bersiap sedia untuk membantu orang ramai yang melarikan diri, dengan sebahagian daripada 5,500 tentera yang baru tiba bulan ini bekerjasama dengan tentera Poland untuk menubuhkan tiga pusat berhampiran sempadan untuk membantu menangani kemasukan puluhan ribu pelarian.
Selain AS, Jerman juga sudah menawarkan sokongan untuk membantu Poland dan bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan.
#poland #Ukraine #Rusia #pelarian
;