Krisis Rusia-Ukraine: Rusia buka koridor kemanusiaan bermula Isnin

Bernama
Mac 21, 2022 11:30 MYT
Seorang wanita dan anaknya berehat di kaki lima stesen kereta api bawah tanah yang dijadikan tempat perlindungan, di Kiev, Ukraine, 8 Mac 2022. (Foto AP)
MOSCOW: Kementerian Pertahanan Rusia pada Ahad mengumumkan pembukaan koridor bantuan kemanusiaan dari bandar Mariupol bermula Isnin, lapor Agensi Anadolu (AA).
Pengarah Pusat Pengurusan Pertahanan Rusia, Kolonel-Jeneral Mikhail Mizintsev berkata koridor berkenaan mula dibuka pada 10 pagi waktu Moscow (0700 GMT) dari bandar Mariupol ke timur dan barat.
Mizintsev menyeru pihak berkaitan mematuhi gencatan senjata bermula 9.30 pagi waktu tempatan.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 902 orang awam telah terbunuh dan sekitar 1,459 cedera sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine pada 24 Feb.
Angka sebenar dikhuatiri lebih tinggi.
Lebih 3.38 juta rakyatnya telah melarikan diri sejak krisis tercetus, dengan lebih dua juta pelarian mencari perlindungan di Poland, hampir 530,000 ke Romania dan lebih 362,000 di Moldova.
-- BERNAMA
#koridor kemanusiaan #gencatan senjata #krisis Rusia-Ukraine #Mariupol