Krisis Rusia-Ukraine: Ribuan pelajar India terkandas selepas penutupan ruang udara
Bernama
Februari 24, 2022 05:00 MYT
Februari 24, 2022 05:00 MYT
NEW DELHI: Ribuan pelajar India terkandas di Ukraine berikutan penutupan ruang udara untuk penerbangan awam operasi ketenteraan khas yang dilancarkan Rusia pada Khamis.
Menurut Kedutaan India di Kiev penerbangan khas telah dibatalkan dan langkah alternatif sedang dibuat untuk memindahkan warganya.
"Pagi ini kami dikejutkan dengan laporan Ukraine diserang. Keadaan sangat tegang dan tidak menentu serta mencetuskan kebimbangan.
"Ruang udara ditutup, jadual kereta api berubah-ubah dan jalan raya sesak," kata duta besar India Partha Satpathy di media sosial.
Duta itu berkata beliau "dibanjiri dengan panggilan" meminta bantuan daripada warga India.
"Seperti sedia maklum, Ukraine berada di bawah tindakan ketenteraan, hal ini menyukarkan pergerakan.
"Bagi pelajar yang terkandas tanpa tempat tinggal di Kiev, kedutaan sedang berhubung dengan mereka," menurut kedutaan itu.
Air India telah mengatur dua penerbangan untuk membawa rakyatnya keluar dari Ukraine pada Khamis dan Sabtu.
-- BERNAMA