Krisis Rusia-Ukraine: Pepsi, Coca-Cola, McDonald's, Starbucks gantung operasi di Rusia
Agensi
Mac 9, 2022 13:57 MYT
Mac 9, 2022 13:57 MYT
BEBERAPA jenama ikonik Amerika Syarikat (AS) seperti PepsiCo, Coca-Cola, McDonald’s dan Starbucks masing-masing pada Selasa mengumumkan mereka menggantung operasi bisnes di Rusia selepas tindakan negara itu menyerang Ukraine.
Media antarabangsa melaporkan, langkah menghentikan operasi itu adalah tindakan simbolik sebagai membantah keputusan Rusia untuk meneruskan strategi ketenteraan mereka di negara jirannya itu.
Pepsi telah menjual produknya selama lebih enam dekad di Rusia, walaupun syarikat itu perlu menjual minuman sodanya untuk vodka Stolichnaya dan kapal perang. McDonald’s pula telah membuka cawangan pertamanya di Moscow beberapa bulan selepas kejatuhan Kesatuan Soviet.
Sejak kebelakangan ini, Pepsi, Coke, McDonald’s dan Starbucks menerima kritikan hebat kerana masih beroperasi di Rusia ketika syarikat AS yang lain terlebih dahulu mengumumkan penggantungan serta menghentikan jualan.
“Hati kami bersama mereka yang terpaksa berdepan kesan buruk daripada peristiwa tragis di Ukraine. Kami akan terus memantau dan menilai situasi," ujar kenyataan dari Coca-Cola pada Selasa.
Rusia mewakili salah satu daripada sebilangan rantau di dunia yang menunjukkan prestasi penerimaan Pepsi lebih besar berbanding Coke.
Dalam pemfailan regulatori, Coke memberitahu, perniagaannya di Ukraine dan Rusia menyumbang 1 atau 2 peratus daripada keuntungan bersih operasi pada 2021. Pepsi pula menjana sekitar 4 peratus keuntungan tahunan di Rusia, walaupun ia tidak menghentikan keseluruhan bisnesnya di negara itu. Syarikat itu dilaporkan masih menjual produk keperluan seperti formula bayi, susu dan makanan bayi.
Ia berkata, penggantungan operasi di Rusia melibatkan jualan jenama Pepsi-Cola, 7UP dan Mirinda, selain pelaburan modal dan semua aktiviti pengiklanan dan promosi.
McDonald’s pula mengumumkan penutupan sementara semua 850 cawangannya di Rusia. Sebelum itu, rangkaian makanan segera itu berdiam diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan tentang peperangan yang berlaku. Itu telah mengundang kritikan lebih besar berbanding rangkaian syarikat yang mengeluarkan kenyataan protes terhadap perang namun masih meneruskan operasi.
Starbucks pula selangkah di hadapan McDonald’s, dengan menyatakan ia akan menggantung semua aktiviti perniagaan dengan Rusia, termasuk penghantaran produk. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Johnson juga telah mengecam serangan ke atas Ukraine.