Krisis Rusia-Ukraine: Pengantin baharu habiskan 'bulan madu' di medan perang
Sinar Harian
Mac 2, 2022 09:30 MYT
Mac 2, 2022 09:30 MYT
KIEV: Pasangan pengantin baharu, Yaryna Arieva dan Sviatoslav Fursin tidak pernah menyangka akan menyertai misi mempertahankan tanah air mereka beberapa jam selepas melangsungkan perkahwinan pada hari pertama Rusia melancarkan kempen pencerobohan pada Khamis lalu.
Pada mulanya, pasangan itu dijadualkan berkahwin pada Mei depan, namun mereka mempercepatkan tarikh untuk mengikat tali cinta pada minggu lalu.
"Kami menghabiskan detik 'bulan madu' dengan mengangkat senjata untuk melawan tentera Rusia," tegas pasangan itu yang turut memakai jaket 'camouflage' sambil masing-masing memegang selaras raifal.
Menurut Arieva yang berasal dari Kiev, situasi di ibu kota tersebut adalah realiti baharu yang perlu dihadapi rakyat negara itu.
"Pada hari pertama musim bunga, kami biasanya menyemai benih bunga matahari yang merupakan bunga kebangsaan Ukraine. Tetapi, kini kami akan menentang serangan Rusia secara habis-habisan.
"Tiada sesiapa di sini yang menyatakan kami akan kalah. Kami percaya akan menang dalam perjuangan ini. Ramai penduduk tidak gentar untuk berjuang demi mempertahankan tanah air ini malah bersedia untuk gugur di medan perang," ujarnya lagi.
Sementara itu, suaminya, Fursin yang berasal di bandar barat Lviv menegaskan rakyat negara itu sentiasa mahukan kebebasan dan akan berjuang untuk mencapai matlamat tersebut.
"Saya akan melakukan apa sahaja untuk melindungi keluarga dan isteri saya," jelasnya yang menyertai misi tempur sejak beberapa hari lalu.
Pasangan tersebut turut menggesa komuniti antarabangsa untuk memberi bantuan kepada Ukraine termasuk bekalan makanan, perubatan dan mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Moscow.
"Saya berharap masanya akan tiba apabila kami dapat berkumpul semula bersama rakan dan ahli keluarga. Pada masa itu, kami akan bersorak gembira kerana menang dalam perjuangan tersebut dan kami menang dalam perjuangan tersebut.
"Tetapi, sebelum kemenangan itu dapat dicapai, kami mahu semua pihak termasuk Rusia sentiasa ingat bahawa kami berjuang demi untuk kebebasan dunia," jelas Fursin.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.