Krisis Rusia-Ukraine: Peluru berpandu terus membedil Kiev - Jurucakap kerajaan

Fareez Azman
Februari 25, 2022 04:21 MYT
Ribuan penduduk di bandar Kiev, Ukraine melarikan diri meninggalkan bandar itu selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraan terhadap kerajaan Ukraine pada Khamis. - AP Newsroom
KUALA LUMPUR: Serangan ketenteraan Rusia di Ukraine terus berlarutan masuk hari kedua.
Jurucakap kerajaan Ukraine menjelaskan dua peluru berpandu balistik Rusia telah membedil ibu negara Kiev dalam serangan pada Jumaat.
"Serangan peluru berpandu di bandar Kiev berterusan," jelas Anton Gerashchenko yang juga penasihat Kementerian Dalam Negeri Ukraine kepada agensi antarabangsa.
Dalam pada itu, tiga letupan yang kuat turut kedengaran di Kiev hari ini dipercayai ledakan peluru berpandu Rusia yang menyasarkan kedudukan penting negara itu.
Sehingga kini, 137 orang terkorban termasuk tentera dan orang awam manakala 160 lagi cedera.
Dalam pada itu, Rusia pula mengesahkan tentera mereka telah membedil lebih 70 sasaran tentera termasuk 11 lapangan terbang di Ukraine.
Operasi menyasarkan kemudahan ketenteraan Ukraine itu dibuat selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan 'operasi khas' pada jam 5.40 pagi Khamis (waktu tempatan).
#Rusia #Ukraine #peluru berpandu #perang #kemanusiaan #krisis