Krisis Rusia-Ukraine: NATO tiada hasrat hantar pasukan tentera
Sinar Harian
Februari 25, 2022 08:05 MYT
Februari 25, 2022 08:05 MYT
BRUSSELS: Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg memaklumkan perikatan tersebut tidak berhasrat untuk menghantar pasukan tentera mereka ke Ukraine selepas kempen pencerobohan Rusia bermula pada Khamis.
"Setakat ini, tiada pasukan tempur NATO di Kiev," ujarnya selepas mesyuarat tergempar bersama wakil perikatan tersebut.
Menurutnya, NATO hanya akan memulakan 'pelan pertahanan' untuk memperkukuhkan keselamatan di Eropah Timur walaupun tindakan itu dijangka mengeruhkan lagi krisis tersebut.
"Apa yang kami mahu jelaskan adalah, kami telah meningkatkan jumlah kehadiran tentera NATO di sayap timur wilayah perikatan kami," jelasnya.
Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran tentang 'pelan pertahanan' tersebut yang dikatakan akan memberi kuasa lebih meluas kepada komander tentera di bawah garis panduan yang ditentukan secara politik.
Tambahnya lagi, penempatan itu akan melibatkan 40,000 anggota pasukan tindak balas pantas termasuk 7,000 anggota kebanyakannya adalah tentera Perancis yang dalam keadaan siap siaga.
*Berita asal di Sinar Harian