Krisis Rusia-Ukraine: NATO setuju ICC jalankan siasatan

Astro Awani
Mac 5, 2022 09:52 MYT
Stoltenberg (kiri) bersama Setiasuaha Negara AS Antony Blinken selepas menghadiri mesyuarat NAC di Brussels. - Foto REUTERS
BRUSSELS: Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg mengalukan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya wujud kemungkinan jenayah perang berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Siasatan ICC itu dilaporkan mensasarkan kepada pegawai kanan yang dipercayai bertanggungjawab ke atas perang, jenayah terhadap kemanusiaan serta pembunuhan beramai ramai.
Siasatan itu dilakukan ketika jumlah kematian masyarakat awam dan kemusnahan harta benda yang kian meningkat ketika ini.
Stoltenberg berkata pencerobohan Rusia ke atas jirannya adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
"Kami telah melihat penggunaan bom kelompok, kami telah melihat laporan penggunaan jenis senjata lain yang melanggar undang-undang antarabangsa.
"Dan sudah tentu, NATO dan sekutu dan rakan kongsi NATO sedang mengumpul maklumat dan memantau dengan teliti apa yang berlaku di Ukraine," katanya.
Jelas Stoltenberg, beliau mengalu-alukan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk membuka penyiasatan dan memastikan bahawa Presiden Vladimir Putin dan Presiden Belarus bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan.
Katanya tindakan mereka adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.
#NATO #Rusia #Ukraine #ICJ
;