Krisis Rusia-Ukraine: Moscow dakwa lebih 23,000 tentera Ukraine terkorban
Bernama
April 17, 2022 17:02 MYT
April 17, 2022 17:02 MYT
MOSCOW: Rusia mendakwa Ukraine kehilangan kira-kira 23,367 anggota tentera sejak operasi ketenteraan di negara itu bermula, lapor Agensi Anadolu.
Menteri Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov berjanji menerbitkan dokumen yang telah diperoleh daripada tentera Ukraine dan mengesahkan angka itu dalam masa terdekat.
"Kementerian Pertahanan Rusia memiliki data yang boleh dipercayai mengenai jumlah sebenar tentera Ukraine yang maut dan (Presiden Volodymyr) Zelenskyy dikatakan bimbang untuk memberitahu rakyat Ukraine mengenai perkara ini," kata Konashenkov.
Sementara itu, sebanyak 15 peralatan ketenteraan Ukraine dibedil dengan peluru berpandu Rusia, termasuk enam pusat senjata dan tujuh kubu kuat tentera Ukraine.
Sekurang-kurangnya 1,982 orang awam terbunuh dan 2,651 lagi cedera sejak permulaan perang, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.
Lebih 4.8 juta rakyat Ukraine telah melarikan diri ke negara jiran, dan lebih tujuh juta lagi hilang tempat tinggal, menurut agensi pelarian PBB.
-- BERNAMA