Krisis Rusia-Ukraine: Kematian tragis kanak-kanak 6 tahun, buat pasukan perubatan menangis
Agensi
Februari 28, 2022 12:47 MYT
Februari 28, 2022 12:47 MYT
MARIUPOL: Sebuah hospital di bandar pelabuhan Mariupol, Ukraine kecoh apabila sebuah ambulans tiba dengan membawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun.
Kanak-kanak itu dilapor mengalami kecederaan serius akibat terkena tembakan pihak tentera Rusia.
Dalam video yang dikongsikan oleh agensi berita APTN, pakar perubatan dilihat bertungkus-lumus cuba menyelamatkan kanak-kanak itu.
Namun, tragisnya kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Kematian kanak-kanak itu jelas menjentik emosi kakitangan, apabila beberapa petugas perubatan mengalirkan air mata manakala seorang lagi meluahkan kata-kata kasar terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin.
"Tunjukkan ini kepada Putin, mata kanak-kanak ini dan para doktor yang menangis.
"Saya harap dia (Putin) akan mati," katanya dengan nada marah bercampur kecewa.
Semasa doktor merawat kanak-kanak itu, bapanya dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital yang sama.
Ibunya pula dilihat duduk bersendirian di koridor, menyusun barang-barang yang dibawa semasa mereka ke hospital.
Mengikut rekod, ini bukan kematian pertama melibatkan kanak-kanak dibawah usia 18 tahun susulan perang yang memuncak antara Moscow-Kyiv.
Pada 26 Februari lalu, seorang kanak-kanak lelaki juga berusia 6 tahun warga Ukraine turut dilapor meninggal dunia kerana terkena peluru dibedil Rusia.