Krisis Rusia - Ukraine: "Kami bangga dengan Presiden Volodymyr Zelensky, akan terus berjuang bersamanya"
Fareez Azman
Februari 27, 2022 15:16 MYT
Februari 27, 2022 15:16 MYT
KUALA LUMPUR: Krisis dua negara Ukraine dan Rusia memasuki hari keempat dengan serangan terus dilancarkan Kremlin ke atas beberapa wilayah terutama ibu kota Kiev di Ukraine.
Berikutan keadaan tidak aman, rata-rata penduduk terpaksa mendapatkan perlindungan bawah tanah sejurus siren dibunyikan di bandar itu pada Ahad.
Dalam usaha mendapatkan gambaran mengenai keadaan di sana, Astro AWANI berjaya menghubungi salah seorang penduduk Ukraine, Galyna Petrushka yang kini berada di Lviv.
Berkongsi situasi genting itu, Galyna berkata, serangan Rusia terhadap Ukraine adalah jenayah perang apabila ada orang awam yang terbunuh.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu, tegasnya, menunjukkan sikap dan sifat pemimpin tertinggi Rusia, Vladimir Putin sebagai seorang yang ‘gila’.
"Ini adalah jenayah perang kerana setiap manusia di Eropah mesti tahu bahawa Putin ini gila. Kita tidak tahu apa akan berlaku esok dan apa akan dia lakukan.
"Sekarang Ukraine cuba mempertahankan negara ini daripada Putin, ramai yang terbunuh," luahnya dalam nada kecewa.
Tambah Galyna, meskipun hanya 5,000 penduduk di negara itu telah melarikan diri ke negara Poland, namun, dia memilih untuk mengambil risiko terus bertahan di tanah kelahiran semata-mata untuk mempertahankan kedaulatan Ukraine.
"Memang saya mahu berjuang untuk Ukraine, tapi bila saya nampak mayat anggota tentera Rusia, saya rasa lega dan sedih sebenarnya, banyak rakyat mereka mati di negara ini tetapi Putin tidak peduli semua itu.
"Memang kami ambil risiko, tapi negara saya juga berada dalam risiko. Saya tidak boleh hanya duduk, saya ada tangan dan kaki, begitu juga suami saya, kami ada duit dan makanan kami akan bantu rakyat Ukraine yang memerlukan," tegasnya lagi.
Sejak serangan Rusia, jelas Galyna, perasaan takutnya terhadap Rusia itu seolah-olah tiada, sebaliknya semangat untuk memastikan kemenangan berpihak kepada negaranya pula sentiasa membara.
"Dalam darah saya hanya ada adrenalin, sebab itu saya tidak fikir pasal kematian. Saya cuma fikir tentang berjuang dan untuk menang.
"Saya ada hati dan perasaan sayang terhadap negara saya, saya akan pertahankannya. Putin tidak boleh lakukan ini, dia Presiden Rusia, ini negara kami, kami berhak untuk tentukan siapa pemimpin negara kami.
"Kami tidak akan biarkan Putin melakukan perkara ini terhadap negara kami, kenapa tidak buat di Jerman atau Amerika Syarikat jika dia ingin jatuhkan kerajaan? Kenapa di Ukraine dia buat begini?" tegasnya lagi.
"Presiden kami paling berani di dunia"
Dalam perbualan dengannya, Galyna juga menyatakan rasa bangganya sebagai rakyat Ukraine kerana memiliki pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan Rusia.
Kata Galyna, Presidennya, Volodymyr Zelensky amat konsisten untuk tidak berganjak daripada terus mempertahankan negara itu.
"Mereka perlu hentikan segala kekejaman ini, Zelensky boleh sahaja keluar dari Ukraine, tapi sekarang dia ada di Kiev untuk berperang demi negara.
"Dia hanya pelakon sebelum ini, tapi sekarang dia Presiden yang menjaga rakyatnya. Dia sentiasa beri kata-kata semangat kepada kami untuk mempertahankan Ukraine, sebab itu saya dan keluarga saya akan pertahankan negara ini. Masa depan Ukraine di tangan kami," jelasnya lagi.
Hari keempat serangan Rusia di Ukraine menyaksikan pertempuran sengit terutama di pinggir bandar Kiev.
Difahamkan, ribuan orang awam turut membantu tentera Ukraine dalam mempertahankan bandar itu daripada ditakluk tentera Rusia.