Krisis Rusia-Ukraine: Diplomat Malaysia larikan diri ke Poland guna jalan darat - Laporan
Agensi
Februari 26, 2022 21:32 MYT
Februari 26, 2022 21:32 MYT
SEKUMPULAN diplomat Malaysia yang terkandas di Kiev didakwa dalam perjalanan untuk keluar dari Ukraine menuju ke Poland menggunakan jalan darat.
Mereka dikatakan tidak berjaya keluar dari negara itu sebelum tentera Rusia menghampiri ibu negara Ukraine berkenaan, lapor portal South China Morning Post pada Sabtu.
Portal itu melaporkan, mereka yang melarikan diri itu terdiri daripada lapan rakyat Malaysia dan dua warga asing yang bergerak menaiki empat kereta.
Kesemua mereka dikatakan menuju ke Lviv yang terletak sejauh 782 kilometer (km) dari Kiev dan perjalanan dijangka mengambil masa kira-kira 10 jam kerana keadaan trafik perlahan.
“Kesemua mereka mengambil tindakan tersebut disebabkan bas yang disewa tidak tiba,” menurut portal itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam kenyataan media hari ini, berkata Kedutaan Malaysia di Ukraine sedang berusaha membawa keluar lapan rakat Malaysia serta dua tanggungan warga asing dari Kiev berikutan konflik yang semakin meruncing antara Ukraine dan Rusia.
Beliau turut menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap konflik yang terus memuncak di Ukraine.
Sejak Ukraine mula diserang pada Khamis, seramai lapan rakyat Malaysia masih berada di Kiev, manakala 13 warganegara yang lain telah meninggalkan negara sebelum ini.