Krisis Rusia-Ukraine: Derita Perang Dunia Ke-2 masih dirasai, kini berdepan detik hitam baharu

Harits Asyraf Hasnan
Februari 25, 2022 19:20 MYT
Lidiya Murugan yang juga Presiden Persatuan Kebudayaan Ukraine di Malaysia berkongsi kekecewaan beliau ketika ditemu bual Astro AWANI. - Foto Lidiya/Reuters
KUALA LUMPUR: Kesakitan dan pemulihan Perang Dunia Kedua masih dirasai dan kini rakyat Ukraine perlu sekali lagi terpaksa melalui detik hitam kehidupan mereka.
Luahan kekecewaan itu jelas terpancar dari sosok anak kelahiran Kiev, Lidiya Murugan ketika ditemu bual Astro AWANI.
Beliau dengan tegas dan tanpa gentar menyifatkan tindakan Rusia mengisytiharkan perang amat memalukan.
"Ukraine sentiasa ingin merdeka. Kami ada banyak sejarah, perlembagaan sendiri, bahasa dan budaya. Kami layak untuk menjadi rakyat yang bebas, hidup secara aman.
"Ukraine sebuah negara yang cantik terutama dari segi pertanian.
"Apa yang kami minta ialah hentikan peperangan. Keluarkan tentera Rusia.
"Penaklukan sebegini tidak harus berlaku terutama pada abad ke-21 terutama selepas datuk nenek kami melalui Perang Dunia Ke-2, kami masih ingat kesakitan dan pemulihan yang dilalui," katanya.
Presiden Persatuan Kebudayaan Ukraine di Malaysia itu menyifatkan, dia, seluruh ahli keluarga serta seluruh warga Ukraine berhak merasai kemerdekaan dan hidup bebas serta aman tanpa sebarang anasir luar.
Katanya, badan dunia seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengambil tindakan segera terhadap tindakan kejam yang dilakukan Rusia.
"Kami meminta NATO dan PBB untuk bersama kami dan meminta negara lain sedar apa yang berlaku dan iktirafnya sebagai perang.
"Apa yang penting ketika ini adalah sekatan terhadap Rusia dan menyekat segalanya dari Rusia.
"Apa yang penting adalah untuk tidak menyokong jenama Rusia dan tidak bekerjasama dalam apa-apa perjanjian ekonomi. Kita kena tunjukkan kepada Rusia bahawa kita bersama.
"Perang ini bukan sahaja terhadap Ukraine, sebaliknya Ukraine hanya permulaan. Ini adalah provokasi untuk seluruh Eropah. Kita perlu hentikannya, masih ada masa hentikan peperangan ini," katanya.
Lebih 12 tahun menetap di Malaysia, Lidiya akui tidak pernah melupakan seluruh ahli keluarganya yang majoritinya berada di ibu negara Ukraine itu.
Dia turut berharap agar seluruh keluarga dan rakyat Ukraine terselamat pada masa sama mengembalikan semula kedaulatan negara itu.
#krisis Rusia-Ukraine #Lidiya Murugan #Merdeka #Rakyat Ukraine
;