Krisis Rusia-Ukraine: Canselor Jerman bertemu Putin
Astro Awani
Februari 15, 2022 21:21 MYT
Februari 15, 2022 21:21 MYT
MOSCOW: Canselor Jerman, Olaf Scholz bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin di Moscow, sehari selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin Ukraine di Kiev.
Dalam ucapan pembukaannya di Kremlin, Scholz mengutarakan isu ketegangan di Ukraine dan dalam masa sama turut bertegas untuk memelihara hubungan ekonominya dengan Rusia.
Kata Scholz, situasi berkenaan juga merumitkan Barat untuk mencari cara menghukum Rusia jika berlaku pencerobohan ke atas Ukraine.
Ujarnya, apa yang penting, kedua-dua pemimpin negara krisis itu perlu tampil bersemuka menyelesaikan situasi sukar berkenaan demi keamanan dan keselamatan di Eropah.
"Apa yang paling penting ialah kita perlu selesaikan isu hubungan antara kedua-dua negara melalui perbincangan antara satu sama lain dan jalan inilah yang perlu dilakukan," katanya.
Kenyataan Canselor Jerman itu menyusul selepas Rusia mengumumkan pengunduran latihan ketenteraannya di sempadan Ukraine dan kembali ke pangkalan mereka.
Bagaimanapun, butiran mengenai jumlah tentera yang pulang ke pangkalan tidak diketahui setakat ini.