Krisis Rusia-Ukraine: Bom Rusia jatuh ke kawasan sendiri secara tidak sengaja

Astro Awani
April 21, 2023 07:20 MYT
Kerosakan yang berlaku di bandar Belgorod akibat bom yang dijatuhkan secara tidak sengaja oleh tentera Rusia. - Foto AP
BELGOROD: Tentera Rusia dengan tidak sengaja menggugurkan bom di sebuah bandar miliknya pada awal Jumaat.
Sewaktu ledakan berlaku, bom berkuasa seberat 500 kilogram itu disangka merupakan serangan daripada Ukraine oleh penduduk setempat.
Belgorod, sebuah bandar yang mempunyai populasi sebanyak 340,000 orang dan terletak kira-kira 40 kilometer dari sempadan Ukraine sering menjadi sasaran serangan drone yang dikaitkan dengan tentera Ukraine.
Pada awalnya, penduduk setempat menganggap letupan itu adalah serangan dari Ukraine.
Namun kemudian tentera Rusia mengakui bahawa ia adalah sejenis bom yang gugur secara tidak sengaja dari salah satu pesawat mereka sendiri.
Media tempatan melaporkan, beberapa saksi memberitahu bahawa mereka mendengar bunyi desingan yang bingit sebelum dentuman yang kuat berlaku.
Kejadian itu mengakibatkan kerosakan teruk di bandar tersebut dan dua individu dilaporkan cedera.
Kementerian Pertahanan Rusia mengakui bahawa letupan tersebut disebabkan oleh salah satu pesawat mereka sendiri, SU-34 Bomber.
#bom #serangan #serangan drone #letupan
;