Krisis Rusia-Ukraine: AS berunding dengan negara sekutu, bakal laksana sekatan ke atas China
Fahmi Izuddin
Mac 2, 2023 10:50 MYT
Mac 2, 2023 10:50 MYT
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kenyataan kemungkinan mengenakan sekatan baharu ke atas China jika Beijing memberikan sokongan ketenteraan kepada Rusia dalam krisis perang Rusia-Ukraine.
Menurut laporan Reuters, perundingan berkenaan sekatan itu masih di peringkat awal dan bertujuan untuk meraih sokongan dari pelbagai negara sekutu AS, terutamanya negara anggota kumpulan G7.
Bagaimanapun, pengkhususan sekatan yang akan dicadangkan oleh Washington masih belum ditetapkan dan Jabatan Perbendaharaan AS juga enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini Washington mendedahkan bahawa China sedang mempertimbangkan untuk menyediakan sokongan senjata kepada Rusia, namun Beijing menafikan kenyataan itu.
AS juga telah memberi amaran secara langsung kepada China untuk tidak memberi sokongan kepada seterunya Rusia.
Ia termasuk dalam beberapa siri pertemuan antara kepimpinan AS-China melibatkan Presiden Joe Biden dan Presiden Xi Jinping termasuk pertemuan sulit antara Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Diplomat Tertinggi China, Wang Yi di Munich.
Langkah awal untuk menentang sokongan China terhadap Rusia telah dikategorikan sebagai pendekatan tidak rasmi di peringkat kepimpinan AS termasuk Jabatan Perbendahaaran AS yang bakal menguruskan tindakan itu.