Krisis Rusia-Ukraine: Akses internet Starlink kini diaktifkan di Ukraine - Elon Musk

Astro Awani
Februari 27, 2022 03:28 MYT
Menurut Musk, perkhidmatan yang menggunakan satelit tersebut kini telahpun tersedia digunakan di Ukraine. - Foto AP
LEBIH banyak terminal perkhidmatan jalur lebar menggunakan satelit Starlink akan dihantar ke Ukraine oleh syarikat gergasi angkasa SpaceX.
Perkara itu disahkan oleh pemilik syarikat tersebut Elon Musk pada Sabtu, menerusi satu kenyataan yang dmuat naik melalui akaun Twitter miliknya.
Malah menurut Musk, perkhidmatan yang menggunakan satelit tersebut kini telahpun tersedia digunakan di Ukraine.
SEMUA MENGENAI KRISIS RUSIA-UKRAINE DI SINI
Tindakan itu katanya, sebagai menjawab ciapan Twitter Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Mykhailo Fedorov, yang merungut disebabkan perkhidmatan internet yang terganggu selepas Rusia bertindak menceroboh dan menyerang negara jiranya itu.
Ciapan yang berbunyi “@elonmusk, semasa anda cuba menjajah Marikh - Rusia cuba menduduki Ukraine! Walaupun roket anda berjaya mendarat dari angkasa - roket Rusia menyerang orang awam Ukraine!" nyata telah menarik perhatian Musk.
Ciapan tersebut segera dibalas olehnya dengan satu kenyataan ringkas namun cukup memberikan penyelesaian segera.
"Perkhidmatan Starlink kini aktif di Ukraine. Lebih banyak terminal dalam perjalanan," catat Musk.

Starlink service is now active in Ukraine. More terminals en route.

— Elon Musk (@elonmusk) February 26, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sambungan rangkaian internet di Ukraine telah terjejas oleh pencerobohan Rusia, terutamanya di bahagian selatan dan timur negara itu, di mana pertempuran paling hebat yang berlaku sejak serangan bertali arus dilancarkan,
Musk sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa SpaceX kini mempunyai 1,469 satelit Starlink aktif dan 272 lagi bergerak ke orbit untuk beroperasi tidak lama lagi.
#Starlink #Elon Musk #Internet #Ukraine