Krisis Rusia-Ukraine: Afrika alami kenaikan harga makanan yang tinggi - Pakar
Bernama
Mac 20, 2022 13:37 MYT
Mac 20, 2022 13:37 MYT
JOHANNESBURG: Negara-negara Afrika akan membayar harga yang lebih tinggi untuk gandum dan mungkin mengalami kekurangan bekalan dalam beberapa minggu akan datang berikutan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan.
"Afrika Selatan mengimport gandum dari Ukraine dan Rusia tetapi disebabkan konflik yang berterusan, kami menjangkakan akan mengalami kekurangan bekalan gandum, dan peningkatan harga minyak," kata pakar sains politik di Universiti Afrika Selatan, Dirk Kotze, kepada agensi Anadolu.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Rusia dan Ukraine merupakan pengeluar dan pengeksport makanan global utama.
Rusia adalah pengeksport terbesar gandum di dunia, dan Ukraine adalah yang kelima terbesar. Kedua-dua negara menyediakan 19 peratus daripada bekalan barli dunia, 14 peratus gandum dan empat peratus jagung, membentuk lebih satu pertiga daripada eksport bijirin global.
Kedua-duanya juga menyumbang 52 peratus daripada pasaran eksport minyak bunga matahari dunia dan Rusia adalah pengeluar baja global terkemuka.
Dalam teks mesej kepada agensi Anadolu, Wandile Sihlobo, ketua ekonomi di Dewan Perniagaan Pertanian Afrika Selatan berkata, walaupun Afrika Selatan tidak akan menghadapi masalah kekurangan makanan harga makanan pasti akan meningkat.
Afrika Selatan mengimport terutamanya gandum dan minyak bunga matahari dari Rusia dan Ukraine, katanya.
"Sejak lima tahun lalu (2016-2020), Afrika Selatan mengimport purata 1.8 juta tan metrik gandum setiap tahun, kira-kira separuh daripada keperluan penggunaan gandum tahunan. Daripada jumlah itu, purata import gandum dari Rusia dan Ukraine masing-masing adalah 34 peratus dan 4 peratus,'' kata Shilobo.
Pakar ekonomi itu berkata tahun ini, Afrika Selatan mengimport 40 peratus daripada anggaran importnya sebanyak 1.5 juta tan metrik gandum, manakala baki selebihnya akan diterima dari negara lain pada kos yang jauh lebih tinggi berbanding harga yang diimport dari Rusia dan Ukraine. Ini akan menyebabkan kenaikan harga gandum di Afrika Selatan.
Afrika Selatan juga mengeksport produk seperti sitrus, kacang, sayur-sayuran, dan tembakau ke Rusia dan Ukraine.
Eksekutif di badan pemikir Media Review Network yang berpangkalan di Johannesburg Iqbal Jassat, memberitahu Agensi Anadolu bahawa Afrika pasti akan terjejas teruk disebabkan konflik itu.
"Hakikat bahawa pergantungan benua ini kepada sumber luar untuk bekalan makanan asas seperti gandum, minyak masak bijirin, dan bahan api walaupun telah lama merdeka daripada kuasa penjajah, menjadikan Afrika sangat terdedah kepada risiko," kata Jassat.
Banyak negara Afrika yang mengimport gandum dari Rusia dan Ukraine juga menyatakan kebimbangan bahawa jika konflik berpanjangan dan sekatan terhadap Rusia berterusan, mereka akan terpaksa menanggung harga gandum yang tinggi yang diperoleh dari tempat lain.
Menurut pakar sains politik di Universiti Kyambogo Uganda Sultan Kakuba, selagi konflik berterusan ekonomi Afrika tidak akan selamat berikutan harga minyak meningkat yang seterusnya membawa kepada kenaikan harga komoditi dan inflasi.
-- BERNAMA