Krisis Rusia - Ukraine: 200 tentera Rusia ditahan tentera Ukraine
Agensi
Februari 27, 2022 14:44 MYT
Februari 27, 2022 14:44 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan tentera Ukraine telah menahan 200 tentera Rusia sejak Kremlin melancarkan serangan ke atas di negara itu empat hari lalu.
Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan di Kedutaan Ukraine di Amerika Syarikat, Mejar Jeneral Borys Kremenetsky, kesemua tahanan perang itu dilayan mengikut Undang-Undang Kemanusiaan Konvensyen Geneva.
Daripada 200 tentera Rusia yang ditahan itu, beliau berkata, ada dalam kalangan mereka yang berusia 19 tahun dan tidak mendapat sebarang latihan ketenteraan dan tidak memiliki kelengkapan peralatan ketenteraan.
Memetik laporan agensi antarabangsa, Kremenetsky turut berkata, kesemua tahanan itu turut dibenarkan menelefon ibu-bapa mereka dan diberikan makanan secukupnya.
Dalam pada itu, Kremenetsky turut menegaskan bahawa Ukraine memerlukan bantuan daripada negara-negara luar dan akan menggunakannya dengan sebaik mungkin.
Sehingga kini, hanya bantuan peralatan ketenteraan dari negara Lithuania telah tiba di negara itu.