Krisis Rusia-Ukraine: 137 terkorban, 160 cedera dalam serangan ke atas Ukraine

Astro Awani
Februari 25, 2022 09:26 MYT
Kepulan asap dilihat berhampiran bangunan tentera selepas serangan Rusia di Kiev, Khamis, 24 Feb 2022. -AP
KIEV: Sehari selepas Rusia melancarkan operasi ketenteraan ke atas Ukraine, presiden negara itu mengesahkan 137 orang terkorban melibatkan tentera dan orang awam, manakala 160 lagi dilaporkan cedera.
Untuk hari kedua berturut-turut, tentera Rusia terus menyerang beberapa kedudukan penting di beberapa bandar di Ukraine.
Penduduk di ibu kota Kiev dan bandar-bandar lain berduyun-duyun lari menyelamatkan diri dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata 100,000 orang sudah berbuat demikian setakat ini.
Laporan terbaharu menyebut berlaku siri letupan di bandar pelabuhan di Mariupol yang menempatkan hampir setengah juta penduduk.
Sejak melancarkan perang, Rusia berjaya menguasai kompleks Chernobyl yang menempatkan tapak yang pernah mencetuskan malapetaka nuklear terburuk dunia sebelum ini.
Kompleks itu sehingga kini masih mengeluarkan kesan radioaktif berbahaya.
Sejak Khamis, tentera Rusia mara dan masuk ke wilayah Ukraine dengan barisan tenteranya melepaskan tembakan dengan letupan dilapor kedengaran di seluruh Ukraine, termasuk di Kiev.
Pertempuran berterusan meletus termasuk di lapangan udara berhampiran ibu kota yang dikepung tentera Rusia.
Bagaimanapun, pasukan tentera Ukraine mendakwa ia sudah dirampas semula.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berikrar untuk terus mempertahankan negaranya daripada terus diceroboh Rusia.
Malah, katanya, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan Ukraine berada di pihak barat memandangkan kini ia adalah negara bekas Soviet.
Penganalisis melihat perang di Ukraine oleh Rusia meletus disebabkan campur tangan Amerika Syarikat yang memberi ruang kepada Ukraine untuk mengganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sebuah pakatan yang diasaskan AS pada 1949.
Bagaimanapun, hasrat Ukraine ini tidak disenangi Rusia memandangkan Ukraine merupakan anggota bekas kesatuan Soviet, USSR
Serangan yang dilancarkan didakwa bertujuan mengajar Ukraine dan mahukan negara jiran Rusia itu menukar fikirannya untuk tidak menyertai NATO.
#korban #Volodymyr Zelensky #Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara #NATO
;