Krisis Rusia-Ukraine: 10,000 penduduk masih terkandas di bandar Irpin
Astro Awani
Mac 14, 2022 08:50 MYT
Mac 14, 2022 08:50 MYT
DATUK Bandar Irpin mendakwa kira-kira 10,000 penduduknya masih berada di bandar berkenaan, yang terletak di pinggir Kiev, Ukraine.
Oleksandar Markushyn berkata, ketika ini sekitar 30 peratus daripada bandar itu telah berjaya dikawal oleh tentera Rusia.
Tegasnya, beliau akan melakukan apa saja untuk membebaskan bandar itu dari cengkaman Rusia.
Terdahulu, dua wartawan warga Amerika Syarikat dilaporkan ditembak ketika berhenti di pusat pemeriksaan di Irpin.
Juan Arredondo mendakwa, dia dan rakannya dipukul dengan teruk dan dipijak.
Terdahulu, Arredondo telah pergi ke Ukraine bagi membuat liputan ke atas pelarian dari kawasan itu.
Katanya, mereka ditembak ketika berada di dalam kereta yang menghampiri pusat pemeriksaan di Irpin.
Menurutnya, walaupun pemandu telah berpatah balik, tembakan ke arah mereka tetap berterusan.
Satu kenyataan daripada polis wilayah Kiev berkata, tentera Rusia melepaskan tembakan ke arah kereta yang dinaiki dua wartawan, dan seorang daripadanya meninggal dunia.