Krisis Rohingya: Apa sudah jadi pada solidariti ASEAN?

Rahimah Abdullah
Disember 7, 2016 17:16 MYT
Mengapa ASEAN boleh campur tangan dalam konflik yang berlaku di Kosovo, sedangkan isu melibatkan Rohingya kebanyakan negara mengambil pendekatan untuk berdiam diri. - Gambar fail
Negara-Negara ASEAN seolah-olah tidak berminat dengan krisis yang melanda Rohingya, ujar Dekan Pusat Pengajian Sekolah Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Kamarulnizam Abdullah.
Tegasnya, krisis berkenaan memerlukan tindakan konkrit dan tidak hanya terhenti di peringkat deklarasi atau resolusi bersama sahaja.
"Masalahnya, ASEAN tiada pemimpin-pemimpin yang boleh bawa ASEAN ke satu hala tuju terutama dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi negara-negara ASEAN dan memberi kesan kepada rakan-rakan ASEAN yang lain. Jika dahulu kita ada Lee Kuan Yew, Tun Dr Mahathir, Suharto dan sebagainya, mereka boleh bercakap mengenai isu ASEAN, namun sekarang semua senyap. Bagi saya, ASEAN seolah-olah tidak berminat (isu Rohingya)," katanya semasa ditemui selepas menjadi panelis Seminar bertajuk Moderation and Islamic For Global Peace di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Tambahnya, beliau tidak melihat ASEAN mempunyai pendekatan menyeluruh dalam menangani konflik Rohingya.
"ASEAN sendiri tidak ada pendekatan yang menyeulruh walaupun kita tengok masyarakat antarabangsa di Facebook, Whatsapp dan sebagainya telah menerbitkan gambar-gambar orang-orang kekejaman terhadap orang Islam Rohingya," tambahnya.
Bagaimanapun, beliau menyambut baik tindakan Malaysia menyertai bantahan besar-besaran ke atas keganasan di wilayah Rakhine pada Ahad lalu sehingga mendapat reaksi balas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dijangka bermesyuarat dalam masa terdekat.
"Bagaimanapun, saya rasa ia masih tidak mencukupi. Malah, saya rasa ia sudah terlambat. Mungkin ada yang kata baik too late than never. Namun, ribuan telah dibunuh, baru sekarang kita nak bercakap pasal Rohingya, sedangkan isu ini telah dibangkitkan beberapa tahun lalu. Apa sudah jadi pada solidariti ASEAN?," katanya.
Pada masa sama, beliau kecewa kerana ASEAN dilihat berdiam diri dalam isu hak asasi manusia yang sepatutnya boleh diselesaikan melalui tindakan berkesan.
"Malah, apa yang terjadi pada pengiktirafan hak asasi manusia dan etnik ASEAN yang dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu? Kenapa ASEAN berdiam diri? Seolah tiada apa yang berlaku. Ini sesuatu yang amat menyedihkan," tambah beliau.
Justeru, beliau mencadangkan NGO-NGO Islam antarabangsa lebih pro-aktif dalam membangkitkan isu Rohingya untuk menjadikannya sebagai agenda antarabangsa.
"Masalahnya, ia tidak mempunyai agenda antarabangsa kerana ASEAN sendiri tidak membawa perkara ini ke peringkat antarabangsa kerana takut ASEAN dituduh mencampuri urusan dalaman Myanmar. Ini bukan urusan dalaman, ini adalah indikasi kepada negara-negara jiran ASEAN untuk memberi kesan kepada isu pelarian dan sebagainya," tegasnya.
Beliau juga mempertikai mengapa ASEAN boleh campur tangan dalam konflik yang berlaku di Kosovo, sedangkan isu melibatkan Rohingya kebanyakan negara mengambil pendekatan untuk berdiam diri.
"Ia hanya next to our door, namun kita (ASEAN) seolah tutup mata, seolah tiada apa yang berlaku. Ini menyedihkan bagi saya. Peranan Malaysia walaupun lambat, tetapi kita ada usaha untuk membantu (Rohingya), jadi saya berminat untuk tahu apa akan berlaku selepas ini," tambahnya.
Beliau juga berharap bantahan dibuat Malaysia ke atas penindasan Rohingya dibincangkan di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan di peringkat komuniti global.
"Jadi ASEAN perlu jadi seperti dahulu, lebih berani untuk menegur. Kita ada konsep constructive enggagement, jadi ASEAN boleh menegur tetapi mengapa ini tidak boleh dilakukan, ASEAN jangan lakukan belakang tabir, apa kesannya?," ujar beliau lagi.
#ASEAN #Ghazali Shafie #isu rohingya #Lee Kuan Yew #Suharto #TUN DR MAHATHIR #UUM
;