Krisis Myanmar: Utusan Khas PBB bertemu ketua junta Myanmar

Astro Awani
Ogos 17, 2022 07:00 MYT
Noeleen Heyzer (kiri) berjabat tangan dengan Min Aung Hlaing dalam pertemuan mereka di Naypyitaw, Myanmar, 17 Ogos 2022. (Foto AP)
UTUSAN Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Noeleen Heyzer, bertemu dengan ketua junta tentera Myanmar, pada Rabu.
Lidah rasmi kerajaan melaporkan, Heyzer dan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing bertukar-tukar pandangan mengenai situasi dan mempromosi kepercayaan serta kerjasama antara Myanmar dan PBB.
Ia juga menyiarkan foto-foto dari pertemuan berasingan yang diadakan Heyzer dengan Menteri Luar yang dilantik tentera, Wunna Maung Lwin.
Pejabat Heyzer berkata, beliau "menguatkan seruan terbaharu daripada Majlis Keselamatan untuk menghentikan serta-merta semua bentuk keganasan.
"Ini termasuk desakan supaya menghormati sepenuhnya hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, akses kemanusiaan penuh, selamat dan tidak terhad."
Beliau turut menggesa menamatkan pengeboman udara dan pembakaran rumah dan infrastruktur awam.
Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan awam Aung San Suu Kyi pada Februari tahun lalu.
Rampasan kuasa tentera menghalang Parti Liga Demokrasi Kebangsaan Suu Kyi daripada memerintah.
Rampasan kuasa itu mendapat tentangan besar-besaran orang awam yang bertukar menjadi penentangan bersenjata yang disifatkan sebagai perang saudara.
#Noeleen Heyzer #Utusan Khas PBB ke Myanmar #ketua junta tentera Myanmar #ketua junta tentera #Myanmar
;