Krisis Myanmar: Lebih 230,000 penduduk hilang tempat tinggal

Astro Awani
Jun 24, 2021 07:03 MYT
Di negeri Karen, yang bersempadan dengan Thailand, 177,000 rakyat Myanmar hilang tempat tinggal. - Foto REUTERS
LEBIH 230,000 rakyat Myanmar hilang tempat tinggal susulan pertempuran dan keganasan di negara itu sejak Februari lepas.
Menurut Pejabat PBB Untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), pihaknya sedang menggerakkan operasi bantuan bagi membantu mereka.
Bagaimanapun, terdapat halangan pertempuran daripada kumpulan bersenjata dengan keganasan masih belum surut sehingga kini.
Di negeri Karen, yang bersempadan dengan Thailand, 177,000 rakyat Myanmar hilang tempat tinggal.
Lebih 20,000 orang berlindung di 100 kawasan pemindahan setelah pertempuran itu.
Beberapa ribu orang yang lain melarikan diri ke utara Kachin dan Shan.
Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU) yang merupakan salah satu kumpulan etnik minoriti tertua di Myanmar menyatakan keprihatinannya terhadap kehilangan nyawa orang awam, keganasan dan kekerasan pihak berkuasa negara itu.
Myanmar dilanda krisis sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu yang menggulingkan kerajaan awam dipimpin Aung San Suu Kyi.
Ia menyebabkan rakyat bangkit mengadakan protes dan berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dan pihak berkuasa.
Pihak berkuasa dilaporkan menggunakan kekerasan termasuk menahan mereka yang tidak bersalah.
Menurut Persatuan Tawanan Politik (AAPP), dilaporkan juga sekurangnya 877 orang terkorban susulan pertempuran dengan pasukan keselamatan.
Lebih 6,000 orang ditahan sejak rampasan kuasa itu.
#Myanmar #keganasan #rampasan kuasa #tempat tinggal
;