Krisis Myanmar: ASEAN tidak tolak ansur terhadap pencabulan nilai kemanusiaan
Ridauddin Daud
Mei 11, 2023 17:07 MYT
Mei 11, 2023 17:07 MYT
LABUAN BAJO: ASEAN tidak bertolak ansur terhadap pencabulan nilai kemanusiaan yang berlaku di Myanmar.
Pengerusi ASEAN, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan, konsensus lima perkara akan terus dijadikan panduan dan pemimpin rantau itu akan mendekati semua pemegang taruh dalam isu tersebut.
Tambahnya, pemimpin ASEAN harus menangani isu berkenaan sebaiknya kerana kredibiliti rantau itu terjejas akibat krisis di Myanmar.
“Indonesia siap berbicara dengan sesiapapun, termasuk dengan junta dan seluruh stakeholders (pemegang taruh) di Myanmar untuk kepentingan kemanusiaan.
“Dan yang penting untuk saya tegaskan bahwa ‘engagement', bukan ‘recognition’. Melakukan pendekatan bukan berarti memberikan pengakuan. Sehingga saya tadi sampaikan di pertemuan bahawa kesatuan ASEAN sangat penting.
“Tanpa kesatuan akan mudah bagi pihak lain untuk memecah ASEAN. Saya yakin, tidak satupun negara ASEAN menginginkan hal tersebut,” katanya.
Tegas beliau, pihak luar tidak boleh dibenarkan mengambil kesempatan atas konflik Myanmar dan Jokowi menegaskan kekerasan di negara itu harus dihentikan dan rakyatnya harus dilindungi.
Beliau berkata demikian pada sidang media penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada Khamis.
Dalam persidangan itu, pemimpin ASEAN sepakat membangunkan ekosistem kenderaan elektrik dan menjadi pemain industri unggul di dunia.
Selain itu, katanya, pemimpian ASEAN juga sepakat untuk memperkukuh pelaksanaan transaksi mata wang tempatan dan ketersambungan pembayaran digital antara negara.
Menurutnya, ia selari dengan tujuan ASEAN Centrality supaya rantau itu semakin kuat dan tidak terlalu bergantung dengan pihak lain.
Dalam pada itu, Jokowi berpuas hati dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan memaklumkan persidangan itu mendapat hasil yang baik.
“Indonesia ingin melihat ASEAN kuat, mampu menghadapi tantangan, tanggap terhadap dinamika, dan tetap memegang peranan sentral di kawasan,” ujarnya.