Krisis Myanmar: 56 kanak-kanak terbunuh, PBB gesa henti keganasan

Astro Awani
Jun 10, 2021 06:52 MYT
Pasukan PBB di Myanmar sangat bimbang terhadap kekerasan berterusan terhadap kanak-kanak di negara itu. - Foto REUTERS/Fail
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa keganasan terhadap kanak-kanak di Myanmar dihentikan.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, pasukan PBB di Myanmar bimbang penggunaan kekerasan berterusan terhadap golongan itu susulan rampasan kuasa junta sejak Feb lalu.
"Pasukan PBB di Myanmar sangat bimbang terhadap kekerasan berterusan terhadap kanak-kanak di negara itu.
"Mereka menggesa pasukan keselamatan untuk tidak melakukan keganasan dan memastikan kanak-kanak dan golongan muda dijauhkan daripada sebarang bahaya," katanya.
Tambah Dujarric, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) menyatakan 56 kanak-kanak dilaporkan telah dibunuh pasukan keselamatan sejak pihak tentera menguasai kerajaan.
Kumpulan hak asasi manusia mendedahkan sekurang-kurangnya 849 orang maut dan 5,800 lagi ditahan sejak rampasan kuasa 1 Februari itu.
#PBB #keganasan #Kanak-kanak #Myanmar #rampasan kuasa #Junta
;