Krisis kemanusiaan di Palestin: Tragedi era moden - Muhammed

Bernama
Jun 14, 2024 08:15 MYT
Muhammed berkata, peranan Liga Dunia Muslim dalam membina jambatan antara timur dan barat melalui dialog juga boleh menyumbang kepada kedamaian dunia termasuk di Palestin. - Gambar fail/REUTERS
MEKAH: Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim Dr Muhammed Abdulkarim Al-Issa menyifatkan pembunuhan beribu-ribu orang yang tidak bersalah di Gaza sebagai satu bencana kemanusiaan di era moden yang harus diselesaikan oleh masyarakat antarabangsa.
Beliau berkata pencerobohan tentera penjajah Israel dari darat, laut dan udara yang setakat ini meragut 37,202 nyawa serta mencederakan 84,932 orang, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak, turut mengejutkan seluruh dunia.
"Saya juga tidak percaya perkara ini berlaku. Ia tidak sepatutnya terjadi kepada sesiapa pun di era moden ini selepas kewujudan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Orde Dunia," katanya ketika bertemu dengan kumpulan media antarabangsa di Ibu Pejabat Liga Dunia Muslim di sini.
Pertemuan itu adalah sebahagian daripada program yang dihadiri oleh 21 wartawan dan jurugambar agensi berita 10 negara yang membuat liputan musim haji tahun ini atas jemputan Agensi Akhbar Arab Saudi (SPA).
"Kita berdoa kepada Allah SWT agar tragedi ini dihentikan, keadilan dikembalikan ke tempat sepatutnya manakala keamanan yang adil dan menyeluruh terus dipelihara," kata Muhammed.
Beliau juga berkata organisasi antarabangsa Muslim menyokong hak rakyat Palestin menerusi keputusan antarabangsa serta inisiatif bijak dan adil yang dikemukakan oleh beberapa negara bagi menangani isu itu.
Mengenai peranan masyarakat Islam dalam membela nasib rakyat Palestin, Muhammed berkata mereka perlu bersatu dalam menyuarakan isu Palestin.
Beliau berkata dengan bersatu padu, suara umat Islam akan lebih didengari dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Muhammed berkata bagi Liga Dunia Muslim, peranannya dalam membina jambatan antara timur dan barat melalui dialog juga boleh menyumbang kepada kedamaian dunia termasuk di Palestin.
-- BERNAMA
#Gaza #Dr Muhammed Abdulkarim Al-Issa #Liga Dunia Muslim #bencana kemanusiaan
;