Krisis kebuluran di kem Zamzam, Sudan semakin meruncing

Bernama
Mac 14, 2025 17:30 MYT
OCHA berkata pihaknya bimbang dengan keadaan yang semakin merosot di kem Zamzam yang terletak di luar El Fasher, ibu negeri Darfur Utara. - Gambar fail/ Reuters
GENEVA: Keluarga yang kelaparan di sebuah kem yang dilanda kebuluran di barat Sudan terpaksa memakan makanan ternakan, menurut petugas kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) berkata pihaknya bimbang dengan keadaan yang semakin merosot di kem Zamzam yang terletak di luar El Fasher, ibu negeri Darfur Utara.
"Kem itu, yang disahkan mengalami kebuluran tahun lepas dianggarkan menempatkan kira-kira 500,000 orang yang kehilangan tempat tinggal.
"Rakan kongsi di Save the Children memberi amaran semalam (Rabu) bahawa kekurangan bekalan makanan yang teruk telah memaksa keluarga mengambil makanan haiwan untuk terus hidup," menurut OCHA.
Save the Children melaporkan bahawa stok ubat-ubatan penting dan makanan terapeutik telah habis, menyebabkan peningkatan tahap kekurangan zat makanan. Bekalan perubatan di klinik bergerak kem itu juga semakin kehabisan.
Penduduk Zamzam telah mengalami kebuluran selama tujuh bulan, dengan kelumpuhan perkhidmatan penting menjadikan kelangsungan hidup semakin sukar, kata OCHA.
Serangan artileri baru-baru ini dan keganasan yang semakin meningkat telah mendedahkan keluarga kepada isiko yang lebih besar dan menjadikan akses kemanusiaan hampir mustahil.
OCHA sekali lagi menyeru supaya pengurangan ketegangan segera dilakukan agar orang awam dapat mendapatkan bantuan menyelamatkan nyawa yang mereka perlukan.
Pejabat itu berkata pihak berkuasa kesihatan di El Fasher melaporkan bahawa penghentian permusuhan membolehkan petugas kemanusiaan menangani krisis kesihatan yang semakin meruncing di wilayah itu.
Bagaimanapun, kekurangan dana memaksa penutupan dapur komuniti yang menjadi talian hayat bagi jutaan penduduk di seluruh Sudan.
Kumpulan bantuan kemanusiaan yang menyediakan makanan, penjagaan kesihatan dan sokongan kritikal lain melaporkan bahawa lebih 70 peratus daripada 1,400 dapur komuniti di Sudan telah terpaksa ditutup akibat kekurangan dana, termasuk di kawasan yang menghadapi kebuluran.
"Tanpa dapur ini, ratusan ribu orang berisiko tinggi mengalami kebuluran yang teruk," menurut OCHA.
"Anggaran perbelanjaan yang diperlukan bagi mengekalkan operasi dapur ini serta perkhidmatan barisan hadapan lain di peringkat komuniti adalah sebanyak US$12 juta sebulan."
Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Catherine Russell, memberitahu Majlis Keselamatan PBB pada Khamis bahawa kanak-kanak membayar harga paling tinggi dalam konflik di Sudan.
Beliau berkata hampir dua pertiga daripada jumlah penduduk Sudan yang melebihi 30 juta orang akan memerlukan bantuan kemanusiaan tahun ini, dengan 16 juta daripadanya adalah kanak-kanak.
Kebuluran berlaku di sekurang-kurangnya lima lokasi di Sudan, dengan dianggarkan 1.3 juta kanak-kanak berumur bawah lima tahun terjejas.
Russell berkata UNICEF memerlukan US$1 bilion untuk menyalurkan bantuan kepada 8.7 juta kanak-kanak yang mudah terdedah pada bahaya di negara itu.
-- BERNAMA
#Sudan #kem pelarian #kebuluran #PBB
;