'Krisis Iran dan Arab Saudi buka 'pintu' perdamaian negara-negara Islam' - Anifah

Wan Syamsul Amly
Januari 22, 2016 14:49 MYT
ANIFAH: Kita telah terlalu banyak dibelenggu dengan masalah sesama sendiri sehingga kita lupa objektif untuk memastikan kemajuan umat Islam itu sendiri.
Krisis Iran dan Arab Saudi membuka 'pintu' kepada negara Islam di seluruh dunia untuk bermuhasabah diri selain mewujudkan perpaduan serta ikatan persaudaraan sesama sendiri.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata ia sekali gus platform umat Islam kembali bersatu dan melihat insiden yang berlaku dari perspektif yang lebih komprehensif.
"Ini aspek penting. Ini pun jika kita bersungguh-sungguh untuk mempertahankan perpaduan umat Islam. Ini adalah masanya untuk kita berbincang secara terbuka, terus terang dan jujur bahawa terdapat masalah berterusan sesama kita sendiri.
"Pertelingkahan sesama sendiri ini perlu dihentikan. Ia merugikan umat Islam sendiri. Kita telah terlalu banyak dibelenggu dengan masalah sesama sendiri sehingga kita lupa objektif untuk memastikan kemajuan umat Islam itu sendiri.
"Kita perlu menumpukan perhatian dan usaha untuk mencari jalan penyelesaian ke atas kelemahan-kelemahan kita secara menyeluruh. Ini sahaja caranya jika kita benar-benar ingin mencapai objektif utama kita arah perpaduan di antara umat Islam," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Anifah kini berada di Jeddah untuk mewakili negara di Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Sebelum ini, Anifah dilaporkan berkata mahu Iran dan Arab Saudi mengadakan dialog demi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.
Tegasnya, ia memastikan satu inisiatif perdamaian yang memastikan hubungan persaudaraan sesama Muslim terjamin.
Dalam pada itu jelas Anifah, Malaysia turut menyeru semua negara anggota OIC yang terlibat untuk mencari jalan bagi meningkat dan mengukuhkan ikatan perpaduan dan persaudaraan di kalangan negara anggota.
"Kita perlu menghentikan sebarang tindakan yang memudaratkan serta tidak memberi faedah kepada umat Islam. Tindakan sedemikian hanya akan melemahkan perpaduan dan persaudaraan kita semua.
"Tidak dinafikan, sekiranya ia berterusan,kita akan terus kerugian. OIC perlu menjadi medan yang menyatukan umat Islam dan negara-negara anggota demi semangat persaudaraan dan kerjasama.
"Kita turut menyeru negara-negara anggota untuk berhenti daripada mengambil sebarang tindakan yang dapat melemahkan usaha ke arah memelihara keamanan dan keselamatan. Kita juga berharap agar langkah-langkah yang sewajarnya dapat dibentuk bagi meredakan sebarang ketegangan sesama kita sendiri," ujarnya.
Pada awal Januari, Arab Saudi mengakhiri hubungan diplomatik dengan Iran berikutan serangan ke atas kedutaannya di Tehran rentetan daripada bantahan hukuman mati ke atas ulama Syiah terkenal Arab Saudi, Sheikh Nimr al-Nimr.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Arab Adel Al-Jubeir, selepas penunjuk perasaan menyerbu kedutaan Arab Saudi di Tehran.
Al-Jubeir berkata, semua diplomat Iran harus meninggalkan Arab Saudi dalam masa 48 jam selepas itu.
#Anifah Aman #Arab Saudi #hubungan diplomatik #Iran #oic #perpaduan Islam
;