Krisis Afghanistan: Taliban mula memasuki Kabul

Agensi
Ogos 15, 2021 16:49 MYT
Salah seorang pemimpin Taliban di Doha yang dijadikan sebagai lokasi rundingan damai sejak beberapa tahun lalu memaklumkan, pihaknya mengelakkan sebarang keganasan. - REUTERS
KABUL: Kumpulan militan Taliban akhirnya memasuki ibu kota Afghanistan, Kabul pada Ahad.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri Afghanistan hanya beberapa jam selepas Taliban menguasai Bandar Utama Jalalabad.
Salah seorang pemimpin Taliban di Doha yang dijadikan sebagai lokasi rundingan damai sejak beberapa tahun lalu memaklumkan, pihaknya mengelak melakukan sebarang keganasan.
Sebaliknya, kumpulan itu menawarkan jalan selamat kepada para penghuni bandar Kabul dengan mengarahkan penduduk meninggalkan ibu kota itu secara aman.
Ketika ini, masih tidak dapat dijelaskan sama ada kerajaan pimpinan Presiden Ashraf Ghani akan melakukan serangan balas terhadap Taliban.
BACA: Konflik Afghanistan: Taliban tawan lebih banyak bandar, Kabul dijangka dalam beberapa hari
Pada masa sama, seorang anggota parlimen Afghanistan di Kabul, Farzana Kochai memberitahu kepada BBC, keadaan di ibu kota tersebut kini amat kucar-kacir.
Ribuan rakyat Afghanistan yang mahu keluar dari negara memenuhi ruangan lapangan terbang susulan beberapa siri serangan oleh Taliban sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Kebanyakan mereka berhasrat untuk pergi berhijrah ke negara-negara jiran termasuk India, namun ada juga yang tidak dapat ke mana-mana kerana kehabisan tiket penerbangan.
Tambah Kochai, golongan wanita di bandar yang telah ditawan oleh Taliban kini tidak lagi keluar untuk bekerja mahupun keluar dari rumah masing-masing.
Konflik Afghanistan | Taliban dijangka tawan bandar Kabul
#Afghanistan #Taliban #Kementerian Dalam Negeri #Parlimen #penerbangan #Ibu Kota #Kabul
;