Krisis Afghanistan: Pengebom bunuh diri maut dalam serangan dron AS

Astro Awani
Ogos 30, 2021 01:45 MYT
Sebuah kenderaan musnah di rumah yang terkena serangan dron AS di Kabul, Afghanistan, 29 Ogos 2021. (Foto AP)
SERANGAN dron Amerika Syarikat membunuh seorang pengebom bunuh diri di mana Pentagon mendedahkan suspek merancang melakukan serangan di Lapangan Terbang Kabul, pada Ahad.
Bagaimanapun, rancangan itu digagalkan pasukan tentera Amerika.
Ia serangan kedua oleh tentera Amerika sejak serangan militan Daish di lapangan terbang itu pada Khamis, yang membunuh 13 tentera Amerika dan puluhan orang awam.
Kebanyakan orang awam yang terbunuh adalah kumpulan yang terdesak untuk keluar daripada Afghanistan sejak Taliban mengambil alih pentadbiran 15 Ogos lepas.
Lapangan terbang utama itu dalam keadaan tidak terkawal dan penuh sesak dengan misi antarabangsa bertujuan memindah keluar warga asing dan penduduk Afghanistan yang berisiko.
Ini disebabkan tarikh akhir ditetapkan Presiden Joe Biden, iaitu pada 31 Ogos, mereka perlu keluar meninggalkan bumi Afghanistan.
Ketika ini, pasukan Amerika Syarikat sedang membuat persiapan akhir untuk keluar daripada Afghanistan dan melengkapkan misi mereka di negara itu selama hampir dua dekad.
Dalam pada itu, pegawai Amerika Syarikat berkata, mereka bimbang dengan potensi ancaman serangan oleh militan ketika tentera negara itu berlepas Selasa ini.
Mereka khuatir dengan ancaman serangan roket dan kenderaan yang diletakkan bahan letupan.
Sebelum ini, Biden memberi amaran, serangan ke atas tentera Amerika dijangka berlaku apabila misi mereka di Afghanistan berakhir secara rasmi pada 31 Ogos.
#Afghanistan #serangan #dron Amerika Syarikat #pengebom bunuh diri