Krisis Afghanistan: Musim sejuk bakal kunjung tiba, bantuan sangat diperlukan - GPM
Hafizi Rosli
Oktober 23, 2021 11:29 MYT
Oktober 23, 2021 11:29 MYT
MUSIM sejuk yang bakal berkunjung tiba di beberapa wilayah di Afghanistan memerlukan perhatian dunia untuk memastikan kesejahteraan mereka dan tiada nyawa terkorban.
Bekalan makanan, tempat berteduh serta pakaian antara elemen yang perlu disediakan kerana banyak bekalan terputus selepas bergelut krisis peperangan dan kini konflik pentadbiran negara di Asia Selatan itu.
Pendedahan situasi semasa ini dikongsikan Ketua Pegawai Operasi, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Syahrir Azfar Saleh di mana pasukannya sudah berada di negara itu sejak sebulan lalu.
Ini diburukkan lagi apabila ramai yang berpindah ke kawasan yang baharu susulan peperangan dahsyat sebelum ini, dan kini hidup dalam serba kekurangan.
"Mereka mungkin menyewa di satu bilik dalam keadaan kekurangan dan dalam suhu yang semakin jatuh di Afghanistan pada masa ini kita dapat rasakan bawaha rakyatnya tidak bersedIa utk hadapi musim sejuk.
"Dalam keadaan ekonomi semakin meruncing, pendapatan tiada, mereka tidak mempunyai sumber untuk mempersiapkan diri mereka untuk membeli baju sejuk, alat pemanas dan apa yang penting adalah untuk beli makanan," katanya dalam Buletin AWANI pada Sabtu.
Maka bagi memastikan kebajikan mereka terjaga, bantuan serta dana sangat diperlukan untuk membina semula kemudahan begitu juga menyalurkan bantuan asas ini.
"Saya melihat bahawa sekarang cabarannya adalah dari sudut dana. Kita perlu menyantuni seberapa ramai masyarakat yang terdesak untuk tingkatkan ekonomi mereka.
"Kita perlu sama-sama gembleng tenaga dan dana untuk berikan kepada mereka. Kita akan salurkan kepada mereka yang bekeperluan dahulu, sebelum pembangunan jangka masa panjang," jelasnya.
Terbaharu, Global Peace Mission (GPM) dan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) menubuhkan Pusat Kemanusiaan Malaysia (MHC) di Kabul, Afghanistan dalam usaha untuk membantu rakyat di negara itu.
MHC berfungsi sebagai pusat maklumat dan akan menyelaraskan bantuan kemanusiaan oleh GPM dan MVM atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang lain.
Ia bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang memerlukan di 34 wilayah di Afghanistan.